Dr Fadi dekat dengan pejuang Hamas
Kuala Lumpur: Pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr
Fadi M R Albatsh Fatma, 35, dipercayai didalangi oleh ejen perisikan.
Malah, dua suspek menaiki motosikal jenis BMW yang melepaskan tembakan jarak dekat juga didakwa perisik yang berada di negara ini.
Pembunuhan Dr Fadi mendapat liputan meluas berita di Timur Tengah dan menjadi kecoh apabila Ketua Jihad Islam Palestin, Khaled al-Batash mengeluarkan kenyataan mendakwa pembunuhan itu didalangi serta dirancang agensi perisikan.
Khaled dalam kenyataan seperti dilaporkan Haaretz.com menyatakan Dr Fadi adalah jurutera Palestin serta terbabit dalam pergerakan pejuang Hamas.
Katanya, Dr Fadi pernah menetap di Jabalia, utara Semenanjung Gaza sebelum berhijrah ke Malaysia pada 2011 dan bekerja sebagai pensyarah di UniKL BMI.
“Pembunuhan Dr Fadi yang juga jurutera Palestin adalah pembunuhan terancang oleh agensi perisikan.
“Dr Fadi adalah seorang pakar dalam bidang penggunaan tenaga dan sudah banyak menyumbang terhadap bidang kejuruteraan elektrik dan pengeluaran tenaga khususnya di Palestin.
“Kami percaya, kerana kepakaran dimiliki serta sumbangannya, dia menjadi sasaran pembunuhan ejen perisik,” katanya yang turut memaklumkan pensyarah itu sepatutnya menghadiri persidangan sains berkaitan penggunaan tenaga di Turki semalam.
Sehubungan itu, Khaled turut berharap pihak berkuasa di Malaysia dapat mengesan dua suspek terbabit dan melaksanakan siasatan menyeluruh bagi mengelak mereka melepaskan diri.
Menurut laporan itu lagi, pada Disember tahun lalu, seorang jurutera penerbangan Palestin yang mahir dalam pembinaan dron iaitu Mohammed Zawahri turut dibunuh oleh ejen perisik ketika berada di Sfax, Tunisia.
Sebelum dibunuh, Zawahri tinggal di beberapa negara namun mengekalkan hubungan rapat dengan pergerakan pejuang Hamas.