Harian Metro

JDT kutip tiga mata berharga

- Rizar Mohd Noor sukanteam@nstp.com.my

Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali menemui rentak kemenangan selepas menewaskan Tampines Rovers 2-1 pada aksi saingan Kumpulan H Piala AFC Zon ASEAN di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.

Kemenangan JDT menyaksika­n saingan Kumpulan H kembali terbuka selepas Persija Jakarta menewaskan Song Lam Nghe An FC 1-0 pada aksi di Stadium Gelora Bung Karno, semalam dan ketiga-tiga pasukan itu masing-masing mengumpul tujuh mata tatkala aksi berbaki dua perlawanan.

Tanpa menurunkan kelibat pemain import, JDT masih mampu menguasai perlawanan apabila bertindak mengancam kubu Tampines Rovers pada minit ke-12 selepas bola hantaran lintang Corbin Ong dirembat kencang Ahmad Hazwan Bakri namun ditepis penjaga gol, Syazwan Buhari.

Namun serangan bertali arus skuad Harimau Selatan seminit kemudian membuahkan hasil selepas bola hantaran S Kunanlan membuka ruang buat Safawi Rasid merembat kencang dari luar kotak penalti menggegar jaring menewaskan Syazwan.

Bagaimanap­un, skuad kendalian Jurgen Raab bangkit menyamakan jaringan ketika aksi berbaki seminit untuk ditamatkan pada babak pertama selepas pengadil perlawanan, Payam Heideri menghadiah­kan sepakan penalti apabila Corbin mengasari pemain pelawat.

Peluang terhidang itu tidak dipersiaka­n Khairul Amri Kamal yang mengambil sepakan penalti mudah menyepak masuk menewaskan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan mula menggandak­an asakan untuk menekan pertahanan pelawat namun Hazwan terlepas peluang pada minit ke-55 selepas gagal melakukan penyudah tepat walaupun hanya berdepan Syazwan.

Akhirnya gol yang dinanti tuan rumah menjelma pada minit ke-78 apabila bola lorongan Insa mengeliruk­an pertahanan pelawat dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya Hazwan yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat bola leret menewaskan Syazwan dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia