Harian Metro

‘Saya tak akan henti rawat anak’

-

Port Dickson: “Saya reda jika ditakdirka­n dia pergi dulu, namun tidak akan berhenti berusaha merawatnya,” kata Mohamad Samser Mohd Timar, 47, bapa kepada Muhamad Fitrah Mohamad Samser, 6, yang menghidap penyakit kepala besar atau ‘hydrocepha­lus’.

Ditemui di rumahnya di Kampung Jimah Lama di sini, semalam, Mohamad Samser berkata, anaknya terlantar sejak dua tahun lalu selepas menjalani pembedahan pertama di kepalanya.

“Fitrah baru seminggu dibenarkan pulang selepas dirawat selama dua bulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Tidak lama lagi dia akan dimasukkan ke HKL semula untuk menjalani pembedahan memasukkan tiub ke dalam perutnya bagi memudahkan dia menerima makanan dan minuman.

“Perbelanja­an setiap kali dia dimasukkan ke HKL amat tinggi kerana saya perlu kerap berulang-alik dari rumah ke Kuala Lumpur, selain memastikan isteri mempunyai wang belanja mencukupi selama menjaganya di sana,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Maisus Lenti, 40, berkata, selama dua bulan anaknya dirawat di HKL, dia dan suaminya terpaksa berjimat cermat dan menahan lapar kerana wang banyak digunakan untuk menampung kos pengangkut­an serta keperluan lain termasuk lampin pakai buang.

“Suami hanya kerja kampung dan kami selalu putus belanja. Kami reda dengan ujian Allah dan akan terus menjaga anak syurga ini sehingga akhir hayat,” katanya.

Dia berkata, Muhamad Fitrah mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 sebulan namun jumlah itu tidak mencukupi. “Fitrah perlu dibawa ke HKL setiap dua minggu untuk menjalani pemeriksaa­n dan rawatan berkala. Biasanya dia akan ditahan di wad beberapa hari sebelum dibenarkan pulang.

“Kami berharap mendapat sumbangan daripada sesiapa saja yang prihatin,” katanya.

 ??  ?? MOHAMAD Samser dan Maisus bersama Fitrah yang menghidap penyakit kepala besar ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jimah Lama, Port Dickson.
MOHAMAD Samser dan Maisus bersama Fitrah yang menghidap penyakit kepala besar ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jimah Lama, Port Dickson.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia