Lima ‘tertimbus’
Bomba buat simulasi latihan di tapak pembinaan
Kuala Lumpur
Situasi cemas berlaku di kawasan pembinaan loji rawatan kumbahan mengakibatkan lima pekerja cedera termasuk dua parah berpunca daripada pergerakan kren yang tidak stabil.
Bagaimanapun, tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan lima pekerja pembinaan itu daripada tertimbus pada kedalaman 3.65 meter.
Namun, ia adalah sebahagian simulasi kendalian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPAM) bersempena Pencapaian 500,000 Jam Bebas Kemalangan.
Penguasa Kanan Bomba II JPAM Kuala Lumpur Ahmad Adli Abdul Rahman berkata, latihan menangani situasi runtuhan di tapak pembinaan bagi memberi pengalaman kepada anggota keselamatan membabitkan anggota JPAM dari Balai Bomba Gombak Selatan dan Balai Bomba Jinjang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Hospital Kuala Lumpur
(HKL).
“Ia julung kali diadakan di tapak pembinaan di kawasan bandar memandangkan pembangunan di Kuala Lumpur berskala besar
“Kursus menyelamat ini membabitkan beberapa teknik menyelamat selain yang biasa diadakan seperti latihan pengungsian bangunan, latihan kebakaran dan latihan mock
drill,” katanya di Loji Rawatan Kumbahan Serantau (CSTP) Batu, Jalan Ipoh, di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) Datuk Sri Dr Zullkefle Nordin berkata, CSTP Batu adalah loji kumbahan awam pertama di Malaysia menggunakan sistem Membrane Bioreactor (MBR) dan terbesar di Asia, selain mampu menampung kawasan tadahan bagi satu juta penduduk setara meliputi Gombak, Batu, Jinjang, Kepong dan Selayang.
“Ia mencatatkan sejarah apabila tiada kemalangan direkodkan sejak pembinaannya pada 14 April 2015.
“Kerja pembinaan yang berjalan sehingga kini mencapai 500,000 jam tanpa berlakunya sebarang kemalangan maut,” katanya.
Beliau berkata, pihak kerajaan mengambil berat aspek keselamatan dan seharusnya mana-mana projek di bawah kendalian kerajaan perlulah sifar kemalangan.
“Langkah keselamatan antara aspek utama yang diberi perhatian terutama dengan menempatkan Ketua Pegawai Keselamatan yang memastikan semua pekerja lapangan mematuhi syarat di tapak pembinaan,” katanya.
Hadir sama, Pengarah Urusan Bina Tamshah Sr MA Zaaba Yusof, Ketua Penolong Pengarah JPP Datuk Muhammad Gadaffi Hussin dan Pengurus Projek CSTP Batu Sivaneswari Sami-Iyah.
Ia julung kali diadakan di tapak pembinaan di kawasan bandar Ahmad Adli