Panik lari ikut kawan
Penunggang motosikal cedera terlanggar batu berhampiran sekatan polis
“Saya tak mahu berpisah dengan rakan jadi saya lari dari sekatan polis tetapi terlanggar batu dan terjatuh,” itu alasan penunggang motosikal berusia 19 tahun yang cedera di mulut dan hidung selepas melarikan diri dari sekatan polis awal pagi semalam.
Kejadian jam 1 pagi itu menyebabkan lelaki terbabit dibawa ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya, dia terlalu takut selepas rakan lain melarikan diri menyebabkan Komisioner nya berbuat demikian walaupun mempunyai lesen serta cukai jalan sah.
“Ketika ternampak sekatan jalan raya, kawan-kawan semua melarikan diri menyebabkan saya turut sama berbuat demikian namun terlanggar batu dan terjatuh berhampiran sekatan itu,” katanya di sini, semalam.
Dalam operasi yang diadakan di Kilometer 11.6, Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala Lumpur di sini, remaja 14 tahun turut ditahan kerana menunggang motosikal tanpa lesen.
Dia yang menunggang motosikal Lagenda 110 ZR mendakwa baru pulang dari tempat kerja di Dataran Kemerdekaan sebagai penjual air.
“Saya mahu pulang ke rumah di Padang Jawa tetapi ada sekatan jalan raya menyebabkan saya ditahan,” katanya.
Dia mendakwa ibu bapanya sudah bercerai dan kini tinggal bersama bapanya manakala tiga adik lain pula mengikut ibunya.
“Ibu hanya kerja sebagai kerani dan terpaksa menanggung tiga adik lain. Jadi saya cari duit pada Sabtu dan Ahad dari jam 10 pagi hingga 10 malam dengan menjual air di sini,” katanya.
Dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan mulai jam 1.30 pagi dan berakhir 3.30 pagi, 106 saman POL 257 dikeluarkan. Operasi yang dilakukan 66 anggota dan pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam diketuai Pegawai Penguat kuasa Trafik, Inspektor Mohd Nazli Nordin serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut menyita 57 motosikal.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Shafien Mamat berkata, saman itu dikeluarkan kepada penunggang motosikal yang berusia antara 15 hingga 27 tahun.
Beliau berkata, 57 pemilik motosikal yang disita itu dibawa ke IPD Shah Alam untuk siasatan lanjut.
“Daripada 106 saman yang dikeluarkan, 56 saman adalah tidak memiliki lesen, nombor plat tidak mengikut spesifikasi (19), salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) (16), tiada cermin sisi (8), tidak mempamerkan cukai jalan (3), tiada pelekat L dan P (2) serta masing-masing satu bagi lesen tamat tempoh dan ubah suai ekzos,” katanya.
Dalam pada itu Shafien berkata, lelaki berusia 20 tahun turut ditahan selepas didapati menunggang motosikal curi, Modenas CT115S merah.
“Lelaki itu didapati menunggang motosikal curi yang dilaporkan hilang 25 Disember lalu di Kelana Jaya. Suspek yang beralamat di Petaling Jaya itu sudah diserahkan kepada pegawai penyiasat jenayah untuk tindakan lanjut.
“Sebelum ini, suspek juga pernah ditangkap atas kesalahan memiliki motosikal curi mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan baru saja habis menjalani hukuman penjara tahun lalu,” katanya.
Selain itu katanya, turut ditahan dua beradik berusia 13 dan 15 tahun.
“Namun mereka bukan penunggang sebaliknya pembonceng. Kita tahan dan panggil ibu bapa mereka untuk mengambil anaknya ke balai.
“Ibu bapa boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak Kanak 2001 berikutan mengabaikan anak mereka,” katanya.