Harian Metro

Selamat tinggal Tok Gajah: Alves

- Asrol Awang sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Pemain kelahiran Brazil, Matheus Alves sah meninggalk­an skuad Pahang, sekali gus menolak andaian bahawa dia akan terus beraksi di Liga Malaysia musim ini.

Pemain berumur 24 tahun itu berkata, dia akan mewakili sebuah kelab di Korea Selatan selepas hanya semusim bersama skuad Tok Gajah.

Justeru, dia berterima kasih kepada pengurusan Persatuan Bolasepak negeri Pahang (PBNP) yang selama ini memberikan sokongan kepadanya.

“Selamat tinggal Pahang dan terima kasih kepada pasukan, rakan sepasukan, pengurus, jurulatih dan peminat Pahang.

“Ia adalah musim luar biasa dalam hidup saya termasuk keluarga saya yang sangat gembira sepanjang berada di sini (Pahang).

“Oleh itu, saya harap suatu hari nanti dapat kembali ke Pahang kerana bangga menjadi sebahagian daripada sejarah skuad Tok Gajah.

“Pencapaian bersama Pahang musim ini memberi motivasi untuk mencapai keputusan terbaik bersama pasukan baru,” katanya menerusi Instagram.

Musim lalu, Alves membuktika­n sentuhan berbisanya apabila muncul penjaring kedua terbanyak dengan 18 gol di peringkat Liga Super.

Alves yang pernah menyarung jersi Gangwon FC, Korea Selatan pada 2016 dikatakan kembali ke negara berkenaan untuk menyertai Suwon FC.

Namun, ketiadaan Alves yang menjadi peledak utama Pahang musim lalu dipercayai dapat diimbangi dengan kehadiran penyerang sensasi Kemboja, Chan Vathanaka.

Pada masa sama, Vathanaka akan berganding­an dengan penyerang berpengala­man, Norshahrul Idlan Talaha.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia