Menjalar atas siling
Warung kecoh selepas menyedari ular sepanjang 0.7 meter
Beberapa pelanggan di sebuah warung, di sini, bertempiaran lari apabila menyedari seekor ular tedung selar menjalar di siling premis itu di Jalan Bolong, semalam.
Dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, beberapa pelanggan berada di premis itu sambil menikmati minuman dan makanan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bolong, Norali Deris, 61, berkata, ketika kejadian dia sedang minum kopi sebelum menyedari ada ‘objek’ bergerak di siling warung berkenaan.
“Saya memaklumkan pekerja warung mengenai kehadiran ‘objek’ itu sebelum didapati ia adalah seekor ular tedung.
“Dalam masa sama, beberapa pelanggan turut menyedari ular itu berada di siling sebelum masing-masing bertempiaran lari keluar dari warung kerana terkejut,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Norali berkata, bimbang dengan kejadian itu, dia segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan.
Sementara itu, Pegawai APM Unit Tuaran, Paulina Francis berkata, sebaik menerima panggilan pada jam 11.25 pagi, empat anggota dikejar ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, ular tedung berwarna hitam itu didapati masih berada pada siling warung. Haiwan berbisa berukuran panjang 0.7 meter dengan berat 400 gram itu berjaya ditangkap menggunakan pencangkuk dan penyepit,” katanya.
Paulina berkata, operasi ditamatkan pada jam 12.08 tengah hari.