Bawa anak buat maksiat
Wanita berstatus isteri orang antara tujuh pasangan ditahan JHEAINS
Seorang wanita berstatus isteri orang tergamak membawa anak lelakinya berusia empat tahun untuk bermalam bersama kekasihnya di sebuah hotel bajet di Senawang, di sini.
Perbuatan wanita berusia 31 tahun itu terbongkar selepas dia ditahan bersama lelaki berusia 29 tahun di dalam bilik hotel terbabit hasil pemeriksaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Isnin lalu.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata, wanita itu antara tujuh pasangan berusia 19 hingga 48 tahun yang ditahan kerana kesalahan percubaan persetubuhan haram.
Menurutnya, serbuan dilakukan di tiga lokasi berasingan di Bandar Baru Nilai dan Senawang menerusi Op Bersepadu Krismas yang bermula jam 9 malam hingga jam 6 pagi.
“Ketika ditahan, wanita itu mengaku membawa anak bermalam di hotel berkenaan kerana dalam proses penceraian dengan suaminya. Terdapat juga pasangan bukan warganegara iaitu warga Bangladesh dan Indonesia beragama Islam yang ditahan melakukan kesalahan sama.
“Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Penguat Kuasa JHEAINS untuk siasatan mengikut Seksyen 61(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dalam operasi dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Ahmad Zaki berkata, pihaknya turut menahan lima lelaki beragama Islam kerana disyaki minum arak.
Katanya, semua yang berusia antara 21 hingga 32 tahun itu ditahan di dua pusat hiburan keluarga di Bandar Baru Nilai.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 78 enakmen sama kerana minum minuman memabukkan,” katanya.