Hukum jawab ucapan orang bersin
Sekiranya seseorang bersin dia kena ucapkan alhamdulillah. Bagaimana cara untuk menjawab apabila terdengar orang bersin? Jika seorang yang bersin itu tidak mengucapkan alhamdulillah, adakah kita mesti jawab juga?
Arifin
Bangi, Selangor
Mengikut syariat Islam, orang bersin perlu mengucapkan alhamdulillah (segala puji kepunyaan Allah) atau alhamdulillah ‘ala kulli haal (Segala puji bagi Allah dalam segala hal) atau alhamdulillahi rabbil ‘alamiin (Segala puji kepunyaan Allah Rabb sekalian alam).
Sebagaimana disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW, perkara itu adalah amalan sunah yang disepakati umat Islam sebagaimana dikatakan Imam an-Nawawi.
Kedua, antara adab orang yang bersin, seseorang hendaklah merendahkan suaranya supaya tidak mengejutkan anggota tubuh dan mengejutkan kawan yang berada berdekatan dengannya.
Dia juga perlu menguatkan ucapan hamdalahnya (alhamdulillah) supaya orang di sekitarnya mendengar. Selain itu, mulut perlu ditutup supaya tidak kelihatan daripada mulut dan hidungnya sesuatu yang dapat mengganggu orang berdekatan dengannya.
Abu Hurairah RA berkata: “Nabi SAW apabila bersin, Baginda meletakkan tangannya ke mulut dan merendahkan suara Baginda.” (Riwayat Abu Dawud)
Ketiga, orang yang mendengar ucapan hamdalah yang diucapkan orang yang bersin wajib mendoakannya dengan mengucapkan ‘Yarhamukallah’ (Semoga Allah memberi rahmat kepadamu).
Sebagaimana disebutkan dalam hadis Aisyah: “Apabila salah seorang di antara kamu bersin, maka hendaklah mengucapkan alhamdulillah dan orang yang di sebelahnya hendaklah mengucapkan yarhamukallah. Dan ini termasuk hak orang Muslim terhadap orang Muslim yang lain.” (Riwayat Ahmad)
Menjawab orang bersin dengan ucapan ‘Yarhamukallah’ itu hukumnya fardu ain sebagaimana ditegaskan dalam beberapa hadis. Bahkan, sebahagiannya menggunakan lafaz
‘wajib’ secara jelas, misalnya hadis: “Lima perkara yang wajib dilakukan orang
Muslim…”
Sebahagian lagi menggunakan lafaz ‘hak’ yang menunjukkan kepada wajib seperti dalam hadis: “Hak orang Muslim atas Muslim yang lain ada enam perkara…”
Ada pula segolongan ulama berpendapat ‘tasymitul ‘athis’ (menjawab orang bersin yang mengucapkan alhamdulillah) itu hukumnya fardu kifayah iaitu sudah mencukupi jika dilakukan sebahagian orang menyebabkan kewajipan itu gugur bagi sebahagian orang lain.
Pendapat itu dikuatkan oleh Ibn Rusyd dan Ibnu ‘Arabi daripada golongan Maliki. Demikian juga pendapat golongan Hanafi dan Jumhur Hanabilah.
Beberapa golongan ulama Malikiyah pula berpendapat, hukum ‘tahsymitul ‘athis’ adalah mustahab (digalakkan) manakala bagi golongan Syafi’i pula sudah memadai jika salah seorang daripada mereka melakukannya.
Ada beberapa orang yang dikecualikan daripada perintah tasymitul ‘athis. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas katanya: “Ada dua orang yang bersin berdekatan Nabi SAW, lalu Baginda menjawab yang seorang tetapi tidak menjawab terhadap yang seorang lagi. Maka perkara itu ditanyakan kepada Baginda dan Baginda menjawab: “Yang ini memuji Allah dan yang ini tidak memuji Allah.”
Begitu juga orang yang sakit selesema yang kerap bersin berulang kali iaitu lebih daripada tiga kali.
Jika setiap bersin wajib dijawab sudah tentu akan memberatkan orang yang di sekitarnya.
Penulis ialah pendakwah