MEMANG MULUT CELUPAR
Wanita didenda RM15,000, penjara enam bulan hina nabi di masjid
Seorang suri rumah didenda RM15,000 dan penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas didapati mengeluarkan kata-kata menghina Nabi Muhammad SAW di masjid di sini, Mei tahun lalu.
Majistret Siti Hanum Md Sah membuat keputusan itu selepas meneliti semua keterangan yang dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes berkenaan dan mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Tham Yut Mooi, 46, didakwa melakukan kesalahan itu jam 5.30 petang pada 4 Mei tahun lalu di ruang solat Masjid Abu Ubaidah, Jalan Perpaduan di Taman Perpaduan Ulu Kinta.
Dia dituduh mengeluarkan kata-kata penghinaan itu yang didengar tiga individu iaitu Abdul Rahim Mat Diah, 53, Mohd Yunos Harun, 73, dan Mohd Halim Buyong, 44, yang dilakukan dengan niat untuk melukakan perasaan keagamaan individu berkenaan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum setahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab manakala tertuduh diwakili peguam, WC Chiang. Terdahulu, Fadhli memohon kepada mahkamah supaya mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana ia kesalahan yang serius, membabitkan sensitiviti agama, kepentingan awam dan tidak seharusnya dilakukan oleh sesiapa.
Katanya, perkataan menghina itu tidak seharusnya dikeluarkan di hadapan masyarakat Islam, malah di hadapan penganut agama lain sekali pun kerana sebagai rakyat Malaysia, setiap agama mesti menghormati antara satu sama lain.
Sementara itu, peguam tertuduh memohon kepada mahkamah memberikan hukuman ringan kerana tertuduh mempunyai dua anak dan ibu bapa yang perlu dijaga.
Mahkamah mengambil kira rayuan, memerintahkan hukuman terhadap tertuduh dijalankan serentak dari tarikh sabitan dan tertuduh berdepan hukuman penjara tambahan tiga bulan bagi setiap kesalahan jika gagal membayar denda ditetapkan.
Mahkamah juga membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan hingga tempoh rayuan kes berkenaan selesai dengan syarat tambahan perlu membayar jaminan RM5,000 dengan penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah.