Gunners elak kena aib lagi
London: Arsene Wenger
menegaskan Arsenal akan mengetepikan masalah mereka dan mempamerkan prestasi sebenar apabila berdepan Southampton dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam ini.
Skuad kendalian Wenger sebelum ini dibelenggu kritikan pedas selepas tumbang 1-3 di tangan Manchester United hujung minggu lalu biarpun mereka jelas mendominasi saingan dengan menghasilkan 33 percubaan tepat ke arah gawang pelawat.
Susulan kekalahan itu, Wenger melakukan rombakan besar ketika melayan kunjungan Bate Borisov dalam saingan Liga Europa apabila membelasah kelab Belarus itu 6-0 sekali gus bangkit daripada kekecewaan tewas kepada United.
Wenger mengakui terkejut dengan respons pantas anak buahnya yang kembali bangkit daripada kekecewaan itu dengan harapan mampu mempamerkan kualiti sama ketika beraksi di Stadium St Mary’s.
“Ia berbalik kepada mentaliti dan sikap pemain. Harus saya akui semangat pemain cukup menakjubkan biarpun kami tumbang dalam perlawanan yang kami kuasai dari awal hingga tamat,” kata Wenger.
“Begitupun, fokus pemain langsung tidak terganggu dengan mereka terus bekerja keras setiap hari.
“Itulah kualiti yang diperlukan hingga akhir musim ini kerana kami bermain di EPL yang mana anda perlu fokus dalam setiap perlawanan.”
Mengulas pertemuan dengan Southampton, Wenger mengingatkan pemainnya supaya berhati-hati kerana rangkaian penyerang tuan rumah amat berbahaya.
“Mereka mempunyai penyerang baru, Charlie Austin. Malah, kehadiran beberapa pemain lain seperti Dusan Tadic, Nathan Redmond dan Sofiane Boufal juga perlu diberi perhatian.” - AFP