Temui peluru dalam kaki anak gajah
Telupid: Sebutir peluru sebesar duit syiling 20 sen ditemui pada kaki anak gajah yang dilaporkan mati pada Rabu lalu, selepas dilihat dalam keadaan cedera di sebuah ladang di daerah ini.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augutine Tuuga berkata, selain itu terdapat kesan cedera disyaki akibat tembakan pada badan dan lidah gajah berusia enam hingga tujuh tahun itu.
“Hasil bedah siasat mendapati, terdapat kecederaan serius di bahagian lidah gajah terbabit disebabkan tembakan.
“Keadaan itu dipercayai menyebabkan haiwan berkenaan tidak dapat makan atau minum sehingga dilaporkan mati berikutan faktor dehidrasi,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.
Augustine berkata, pasukan bedah siasat turut menemui sebutir peluru sebesar duit syiling 20 sen di kaki kiri gajah itu.
“Terdapat kesan luka disyaki akibat tembakan di bahagian badan, tetapi ia tidak menyebabkan kecederaan organ dalaman.
“Berikutan itu, pihak kami masih menjalankan siasatan dan mengesan suspek terbabit dalam kejadian ini,” katanya.
Katanya lagi, gajah itu ditangkap di sebuah ladang kelapa sawit di sini, pada 24 November lalu oleh Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) untuk penempatan semula dan rawatan di Santuari Gajah Borneo, Kinabatangan.
“Langkah itu juga diambil untuk keselamatan kerana gajah itu dilaporkan bertindak agresif terhadap pekerja ladang dan penduduk kampung.
“Kehadiran gajah itu disedari berada ladang itu pada 5 November lalu dan anggota JHL dihantar untuk mengawal keadaan kerana gajah itu dilaporkan mengganggu pekerja ladang sehinggalah gajah itu ditangkap dua minggu lalu,” katanya.
Augustine berkata, pihaknya berharap orang ramai memberi kerjasama dengan menghubungi pejabat berhampiran untuk menangani masalah berkaitan kehadiran gajah di kawasan mereka.