Harian Metro

‘Bukan mudah nak kalahkan kami’

-

Milan: Selepas berjaya meloloskan diri ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara, Juventus kini dalam laluan meniti minggu yang sempurna seandainya berjaya membenam Inter Milan dalam saingan Serie A sekali gus memintas pendahulu itu.

Masih segar dengan kemenangan dramatik 1-0 ke atas Napoli menerusi jaringan tunggal Gonzalo Higuain minggu lalu, meletakkan kembali pasukan juara bertahan kendalian Massimilia­no Allegri itu di landasan tepat mendaki puncak liga biarpun lawan yang ditemui bukan calang-calang pasukan.

Inter yang kali terakhir memenangi kejuaraan liga ketika dibimbing Jose Mourinho pada 2010, berjaya menyingkir­kan Napoli ke tangga kedua selepas mudah membenam Chievo 5-0 Ahad lalu untuk menduduki tangga pertama liga selepas kali terakhir melakukann­ya pada Januari 2016.

Menurut jurulatih Inter, Luciano Spalletti, anak didiknya berada dalam situasi terbaik untuk mengecewak­an Juventus sekali gus kekal di puncak Serie A.

“Ketika aksi antara Napoli dan Juventus, ia menunjukka­n Juventus memiliki sedikit kelebihan dari segi kualiti dan karakter,” kata Spalletti selepas menewaskan Chievo.

“Mereka (Juventus) amat kuat di tempat sendiri, tapi saya tetap percaya dengan kemampuan pemain melakar sesuatu apabila bertandang ke sana nanti.”

Bagaimanap­un, Napoli berpeluang untuk muncul selaku pendahulu seandainya mereka berjaya menewaskan Fiorentina sambil mengharapk­an aksi di Stadium Allianz berkesudah­an seri.

Ketika ini, Napoli di kedudukan

kedua dengan 38 mata, satu mata ketinggala­n di belakang Inter (39 mata) manakala Juventus di tempat ketiga (37 mata).

Tegas Spalletti, biarpun pasukannya hanya mempertaru­hkan skuad muda musim ini berbanding Juventus yang mempunyai ramai pemain berpengala­man, beliau yakin pemainnya tidak akan memberi laluan mudah kepada tuan rumah.

“Bukan mudah untuk mereka mengalahka­n kami. Motivasi pemain berada pada tahap terbaik dan saya percaya perlawanan akan berlangsun­g sengit dengan masing-maisng mahu memburu tiga mata,” katanya. - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia