SEMADILAH WIRAKU
Impian waris bawa pulang enam pemimpin Melayu Besut terlaksana
Hujan renyai mengiringi penggalian semula kubur besar milik enam pemimpin Melayu Besut, Terengganu yang dibunuh tentera Jepun 72 tahun lalu di dalam kawasan sebuah kolej di Kem Kijang, Jalan PCB, Kota Bharu. Semua serpihan tulang berkenaan kemudiannya dibawa kira-kira 100 kilometer daripada kubur berkenaan untuk disemadikan dalam satu liang lahad di perkampungan mereka di Kampung Alur Belanga, Alor Keladi, Hulu Besut, Terengganu.
Hujan renyai mengiringi penggalian semula kubur besar milik enam pemimpin Melayu Besut, Terengganu yang dibunuh tentera Jepun 72 tahun lalu di dalam kawasan sebuah kolej di Kem Kijang, Jalan PCB, di sini.
Kerja menggali semula kubur sedalam 1.5 meter dengan jengkaut bermula jam 8 pagi selama lebih tiga jam menggunakan jengkaut itu menemui lebih 10 serpihan tulang.
Penggalian dan penemuan itu mengakhiri perjuangan dan penantian panjang waris enam pemimpin berkenaan iaitu penggawa Allahyarham Wan Embong Wan Zainal bersama rakannya, Yatim Ahmad, Karim Abd Samad, Husain Abdullah, Othman Mamat dan Ismail Ahmad yang dipercayai dibunuh dan terus dikuburkan di situ pada 1945.
“Ini tanggungjawab kami untuk pastikan semua arwah dikebumikan dengan sempurna. Sudah lama kami merancang perkara ini dan mahu membawa mereka semua pulang,” kata Che Ku Abdul Rahman Che Ku Abdullah,
78, cucu saudara Allahyarham Wan Embong.
Semua serpihan tulang berkenaan kemudiannya dibawa kira-kira 100 kilometer daripada kubur berkenaan untuk disemadikan dalam satu liang lahad di perkampungan mereka di Kampung Alur Belanga, Alor Keladi, Hulu Besut, Terengganu.
Che Ku Abdul Rahman yang juga pengerusi jawatankuasa majlis pengebumian semula itu berkata, perancangan untuk menggali semula kubur itu sudah dibuat sejak dua tahun lalu.
Dia berkata, ahli keluarga sepakat membawa pulang serpihan tulang untuk dikebumikan dengan sempurna di tanah perkuburan Islam.
“Sebelum ini, jasad mereka dikebumikan di dalam satu lubang di tanah awam di kolej ini yang dulu menjadi tempat pembunuhan pejuang menentang Jepun.
“Oleh itu, kami sebagai waris berasa bertanggungjawab untuk kebumikan mereka secara sempurna di tanah perkuburan Islam.
“Alhamdulillah selepas mendapat kebenaran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Pejabat Agama Daerah Besut, kerja menggali dijalankan hari ini (semalam),” katanya.
Menurutnya, enam pemimpin Melayu ini amat disegani di Besut kerana berani menentang kezaliman pemerintahan Jepun ketika itu.
“Mereka ditangkap di Besut sebelum dibawa ke Kelantan dan dibunuh. Saya difahamkan ketika itu Wan Embong terpaksa diikat dan ditanam hidup-hidup di dalam lubang itu bersama lima mayat lain kerana tidak mati biarpun ditembak beberapa kali,” katanya.
Che Ku Abdul Rahman berkata, dia difahamkan semua enam pemimpin itu ditahan selepas tidak memberi kerjasama kepada pemerintah ketika itu untuk membaiki lapangan terbang Gong Kedak yang rosak teruk dan enggan menyokong rancangan tentera Jepun menghantar orang ke Burma untuk membuat jalan kereta api.
“Hanya selepas setahun kejadian itu berlaku, baru ahli keluarga tahu mereka dibunuh dan ditanam di kawasan itu,” katanya.
Beliau juga bercadang membukukan kisah perjuangan Wan Embong dan rakan-rakannya menentang pendudukan Jepun di negara ini.
“Biarpun nama mereka tidak sebesar pejuang lain, kita mahu generasi di masa hadapan terutama yang tinggal di sekitar daerah Besut dapat menjadikannya sebagai iktibar,” katanya.
Seorang cicit Allahyarham Wan Embong, Wan Kamal Azmi Wan Hassan, 52, melahirkan rasa syukur kerana semuanya selesai.
Walaupun penemuan tulang ini sedikit, kami reda dan lega dapat tunaikan tanggungjawab untuk kebumikan semua arwah di kampung halaman,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, cucu Allahyarham Abdul Karim Samad, Fatimah Yusof, 46, melahirkan rasa bangga datuknya seorang pejuang menentang kezaliman.
“Biarpun sedih arwah mati dibunuh, saya bangga kerana datuk sanggup menggadaikan nyawa demi mempertahankan negara.
“Bagi kami sekeluarga, arwah seorang pejuang Melayu dan Islam,” katanya.
Kami mahu kebumikan mereka secara
sempurna Che Ku Abdul
Rahman