Harian Metro

JATUH CINTA DENGAN RASULULLAH

-

“Siapa saja yang melihatku dalam mimpi, maka ia benar melihatku kerana syaitan tidak mungkin menyerupai diriku.” (HR. Muslim no. 2266).

Ada orang tanya saya apa sebab musabab saya peluk Islam? Saya dah cerita sebabnya banyak kali. Tetapi kali ini saya cerita sisi lain sempena kedatangan Maulidur Rasul hujung bulan ini.

Bagaimana lahirnya rasa cinta terhadap Baginda SAW. Saya kembali kepada Islam kerana saya nampak Islam itu indah menerusi akhlak Rasulullah SAW.

Dulu sebelum saya syahadah, saya selalu dengar kisah Rasulullah. Siapakah beliau?

Hinggakan saya ingin mengenali dirinya. Memang benar kata orang, tak kenal maka tak cinta.

Benak hati saya teringin sangat mengenali Rasulullah. Ada yang kata baginda adalah Kekasih Allah iaitu pencipta-Nya. Sahabat pernahkah berasa jatuh cinta pada seseorang?

Tidur tidak lena, ingin tahu semua mengenai dia. Malah rasa ingin tahu apa yang dia buat sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi.

Begitulah perasaan saya terhadap Rasulullah ketika itu. Saya rindu hendak tahu kisah sepanjang hidupnya. Selalu juga saya menyanyi lagu Raihan iaitu Ya Rasulullah sendiri. Bagi saya liriknya sangat menyentuh hati. Antara bait-bait liriknya yang pasti buat mata saya berkacakac­a.

Kerinduan padanya sukar dilafazkan dengan kata-kata kerana saya benar-benar rindu akan baginda. Saya selalu berkata pada diri sendiri: “Ya Rasulullah, akhlakmu sungguh indah. Tetapi banyak betul ujian yang kau terima, kau tetap bersabar. Kalau aku di tempat mu, aku sudah lama tewas. Memang kau kekasih Allah.”

Ketika itu saya masih belum syahadah tetapi saya sudah dilamun cinta iaitu cinta pada Rasulullah. Pelikkan?

Tapi itulah kenyataann­ya.

Saya yakin Allah pencipta Rasulullah dan kita semua.

Sebelum saya membuat keputusan melafazkan syahadah, saya berdoa kepada Allah sebelum saya tidur, “Ya Allah sekiranya agama Islam ini adalah pegangan ku, kau berikanlah pertunjuk.”

Saya percaya pada doa. Saya dapat petunjuk yang kuat dalam mimpi membuatkan saya melafazkan syahadah esoknya, alhamdulil­lah.

Selepas syahadah, tempat yang paling ingin saya kunjungi ketika itu adalah Makkah dan Madinah bagi mengerjaka­n ibadah umrah. Sebaik tiba di Makkah air mata saya mengalir. Allah memang sayang akan hamba-Nya.

Cuma hamba-Nya yang lalai dan lupa Allah.

Ketika di Madinah, saya dimaklumka­n makam Rasulullah ada di Raudhah. Saya ambil peluang melawat Raudhah. Waktu itu rindu sangat ingin bertemu Rasulullah. Benar, Rasulullah sudah lama wafat, namun saya saya berasa begitu dekat dan mengenali Rasulullah kerana selalu baca kisahnya dalam buku-buku.

Satu rezeki Allah kurniakan kepada saya apabila dapat duduk berhadapan dengan makam baginda. Air mata saya mengalir kerana berasa terharu dengan kesempatan ada selain tidak percaya sudah berada di sana. Saya banyak berzikir dan ada ketikanya terasa seperti berbual-bual dengan baginda.

Kalau amalan serta apa yang saya lakukan ketika di Raudhah dikatakan satu bidaah, apa bezanya perbuatan itu dengan menziarahi kubur ibu bapa sendiri. Saya pernah ceritakan kisah saya duduk di Raudhah dalam satu rancangan televisyen swasta. Saya ceritakan saya duduk depan makam, macam berborak dengan Rasulullah.

Saya tahu Rasulullah sudah wafat tetapi saya cuma ingin berborak. Berkongsi kisah mengenai perjalanan mengenali baginda dan kebetulan ketika itu saya masih bujang. Saya berharap umrah akan datang saya dapat datang semula bersama isteri insya-Allah.

Peristiwa dan pengalaman itu saya kongsikan secara terbuka membuatkan saya menerima kritikan perbuatan itu syirik. Namun bagi saya, saya hanya meluahkan rasa pada insan istimewa iaitu Rasulullah.

Selepas enam tahun saya syahadah, saya ceritakan mimpi saya pada murabi saya. Murabi saya mengatakan insan yang datang dalam mimpi saya adalah Rasulullah.

Saya kata tidak mungkin saya dipilih bertemu dengan Rasulullah dalam mimpi. Ketika itu saya belum Islam.

Saya banyak dosa. Murabi saya kata, hidayah itu milik Allah. Dia berikan kepada siapa sahaja yang kehendakiN­ya. Sebenarnya sesiapa saja boleh mimpi Rasulullah dengan syarat insan itu benar damba cinta dan rindu Rasulullah.

Dengan izin-Nya Rasulullah akan muncul dalam mimpi kita walaupun sesaat. Kita inginkan syurga Allah tapi malas dan ingkar buat perintah Allah. Kita takut masuk neraka tapi kita buat larangan-Nya dengan senang hati tanpa rasa serba salah.

Hijrah itu mudah jika kita yakin dengan Allah.Yang susah adalah hati kita untuk terus istiqamah dalam jalan Allah.

Senyum selalu

Selalu bersangka baik Insya-Allah hati tenang

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia