Nuan Nuan balik kampung
Anak panda gergasi, Nuan Nuan yang kini berusia dua tahun bakal dihantar pulang ke negara kelahiran ibu bapanya di Pengkalan Panda Dujiangyan, Sichuan, China pada 14 November depan.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penghantaran pulang itu adalah memenuhi Perjanjian Program Kerjasama Antarabangsa Konservasi Panda Gergasi yang ditandatangani bersama China pada 15 Jun 2012 bagi memulangkan anak yang dilahirkan pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang yang dipinjam bagi tempoh 10 tahun.
“Ini satu keputusan yang sukar, tetapi saya percaya Malaysia membuat keputusan yang betul kerana mengambil kira sifat biologi semula jadi ibu panda memisahkan diri dengan anaknya sebaik mencecah usia matang pada dua tahun.
“Biarpun mengikut perjanjian kita boleh menambah masa untuk beberapa tahun menjaganya lagi namun apa paling penting penyerahan semula ini adalah bagi tujuan konservasi panda gergasi untuk membolehkan ia menjalani kehidupan habitat asal di samping bergaul dengan panda lain di Pusat Konservasi Panda di China.
“Nuan Nuan akan dihantar pulang menggunakan perkhidmatan kargo dari MAB Kargo Sdn Bhd (MASKargo) dan proses penghantaran sedang giat dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak,” katanya pada Majlis Perpisahan Nuan Nuan di Zoo Negara di sini, semalam.
Turut hadir Presiden Persatuan Zoologi Malaysia Datuk Seri Zaharin Md Arif dan Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Amat Lana.
Menurut beliau, kerajaan China memberi kebenaran kepada rakyat Malaysia untuk melawat Nuan Nuan di habitat asalnya di Sichuan sekiranya berpeluang ke negara berkenaan.
“Sekiranya ada kesempatan ke sana, rakyat kita dibenarkan melawat Nuan Nuan.
“China juga mempunyai pilihan sama ada mahu mengekalkan nama asal Nuan Nuan atau memilih nama lain, tetapi bagi pihak Malaysia nama itu masih kekal,” katanya.
Menurutnya, kelahiran Nuan Nuan memberikan satu sejarah besar buat Malaysia berikutan mampu membuatkan pasangan panda gergasi itu melahirkan anak dalam tempoh 15 bulan saja berbanding kebanyakan negara lain.
“Mungkin keadaan persekitaran, penjagaan dan pemakanan yang baik termasuk penggunaan buluh betong membantu kepada kejayaan ini dan mungkin pasangan panda gergasi itu juga berpotensi melahirkan anak lagi selepas ini.
“Saya melihat proses pembesaran Nuan Nuan daripada sekecil tapak tangan berwarna merah jambu kini kita mampu menghasilkan panda gergasi yang sihat pada berat 82 kilogram dan aktif.
“Justeru, saya menggalakkan orang ramai supaya melawat Nuan Nuan yang boleh dilihat di ruang pameran pada hujung minggu dan cuti umum mulai hari ini hingga 12 November depan sebelum dihantar pulang ke China dua hari selepas itu,” katanya.
Anak panda dua tahun bakal dihantar pulang ke China China juga mempunyai pilihan sama ada mahu mengekalkan nama asal Nuan Nuan atau memilih nama lain”
Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar