Budak digilis van
Ibu trauma kehilangan anak tunggal berusia setahun
Seorang ibu hanya mampu mengalirkan air mata melihat jasad anak lelakinya yang berusia setahun dibawa masuk ke kenderaan polis untuk dibawa dari Klinik Kesihatan Telipok ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1), di sini, semalam.
Norapinah Joe, 20, dilihat lemah apabila suaminya Mindi Boy Tiasil, 26, mengangkat jasad anak mereka Muhammad Sarmindi yang juga anak tunggal itu untuk diletakkan ke dalam kenderaan polis berkenaan.
Malah, Norapinah memeluk erat mayat anaknya sambil menangis sebelum ditenangkan suaminya.
Situasi itu menyebabkan beberapa ahli keluarga dan rakan pasangan itu yang berada di pekarangan Klinik Kesihatan Telipok turut mengalirkan air mata.
Dalam kejadian jam 6.55 pagi, Muhammad Sarmindi parah selepas digilis van datuknya di hadapan kedai runcit keluarga mereka di Skim Penempatan Telipok, dekat sini.
Mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Telipok namun disahkan meninggal dunia.
Wartawan Harian Metro cuba menemu bual Norapinah namun gagal kerana wanita itu masih trauma dengan kejadian berkenaan.
Mindi Boy ketika ditemui berkata, dia sempat mencium anaknya itu sebelum ke tempat kerja di Penampang pada pagi semalam.
“Kebiasaannya, sebelum pergi kerja, anak (Muhammad Sarmindi) akan bangun peluk dan cium saya.
“Bagaimanapun, pagi tadi (semalam), saya cium Muhammad Sarmindi ketika dia tidur kerana saya mahu ke tempat kerja,” katanya ketika ditemui di pekarangan Klinik Kesihatan Telipok, dekat sini, semalam.
Mindi Boy yang bekerja sebagai buruh berkata, dia dan Norapinah memanggil Muhammad Sarmindi dengan nama manja Muhammad.
“Dia sangat rapat dengan kami terutama ibunya kerana Muhammad anak tunggal kami.
“Kelmarin, saya berjanji kepada Muhammad untuk membelikannya telefon bimbit kerana dia suka melihat video kartun dalam telefon bimbit ibunya.
“Saya tak sangka kejadian sedih berlaku hari ini (semalam),” katanya.
Sementara itu, bapa Mindi Boy, Abdul Rajik Kauh, 53, berkata, ketika kejadian, Norapinah membawa Muhammad Sarmindi ke kedai runcit keluarga di Skim Penempatan Telipok, dekat sini.
“Ketika besan saya (bapa Norapinah) keluar dan menaiki van penumpang untuk ke pekan Telipok, Muhammad dikatakan menghampiri dan menyentuh van berkenaan tanpa disedari sesiapa.
“Sebaik van itu bergerak, Muhammad dipercayai terjatuh sebelum digilis tayar belakang van berkenaan.
“Ahli keluarga yang melihat kejadian itu segera menghantar Muhammad ke Klinik Kesihatan Telipok namun dia disahkan meninggal dunia,” katanya.
Menurut Abdul Rajik, cucunya itu sangat manja dan rapat dengan mereka sekeluarga.
“Kali terakhir saya lihat Muhammad ketika hendak pergi kerja dan Muhd sempat melambai kepada saya.
“Kami sekeluarga sedih dengan apa yang terjadi...lebih-lebih lagi Muhammad cahaya mata sulung kepada anak perempuan saya,” katanya.
Muhammad dikatakan menghampiri van tanpa disedari
sesiapa
Abdul Rajik