Harian Metro

Misi penting

- Saiful Affendy Sapran saifulaffe­ndy@hmetro.com.my

 Skuad hoki lelaki negara tekad mara ke final Piala Asia

Skuad hoki lelaki negara tetap meletakkan sasaran tinggi untuk mara ke final Piala Asia di Dhaka, Bangladesh dari 11 hingga 22 Oktober ini yang menawarkan satu tiket ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswa­r, India.

Ketua jurulatih Malaysian Tigers, Stephen Van Huizen berkata, meskipun hakikatnya barisan pemainnya tidak berdepan sebarang tekanan kerana sudah layak secara merit ke Bhubaneswa­r menerusi Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu, namun beliau berasakan Malaysia perlu meletakkan sasaran tinggi untuk terus mengekalka­n prestasi cemerlang sepanjang tahun ini.

Skuad negara yang kini menduduki ranking ke-12 dunia, hadir ke Dhaka selaku pasukan kedua terbaik selepas India (ranking ke-6) sekali gus menjadi antara pilihan utama untuk mara ke pentas final.

“Berdasarka­n ranking semasa, kami berharap dapat mara ke final.

“Tapi saya sedar ia bukan satu tugas yang mudah sebab ada tiga negara yang bersaing untuk merebut tiket ke Piala Dunia,” kata Stephen merujuk kepada China, Jepun dan Korea Selatan yang masih mengintai peluang beraksi di kejohanan berprestij itu pada tahun depan.

Jelas Stephen, penampilan skuad negara kali ini jelas berbeza berbanding edisi sebelum ini apabila sering berada di ranking lebih rendah.

“Sebelum ini kita mungkin menjadi pasukan pilihan keempat dan mempunyai misi untuk melakukan kejutan dengan pasukan ranking lebih baik.

“Tapi sekarang kita menjadi pasukan pilihan berbanding menjadi sasaran pasukan lain.

“Saya sudah kerap tegaskan kepada pemain bahawa misi kali ini juga cukup penting untuk pasukan kerana kita juga dalam misi untuk terus memperbaik­i ranking,” katanya pada sidang media mengumumka­n senarai 18 pemain ke Dhaka, hari ini.

Daripada senarai itu, tiga pemain utama terpaksa digugurkan akibat kecederaan, iaitu Firhan Ashaari, Meor Muhamad Azuan Hassan dan Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin.

Penyerang muda Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi pula direhatkan sekali gus diberi peluang beraksi bersama skuad bawah 21 tahun negara bagi persiapan ke Piala Sultan Johor hujung bulan ini.

Sementara empat pemain yang tidak beraksi pada Separuh Akhir Liga Hoki Dunia disenaraik­an iaitu Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Joel Samuel Van Huizen, Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad dan Muhammad Ramadan Rosli.

Di Dhaka, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama Korea Selatan, China dan Oman.

 ??  ?? STEPHEN (tengah) bersama pengurus pasukan hoki negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim (kiri) dan penolong jurulatih, Muhamad Amin Rahim ketika sidang media pengumuman senarai nama akhir skuad negara ke Kejohanan Hoki Hero Asia Cup 2017, Dhaka, semalam.
STEPHEN (tengah) bersama pengurus pasukan hoki negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim (kiri) dan penolong jurulatih, Muhamad Amin Rahim ketika sidang media pengumuman senarai nama akhir skuad negara ke Kejohanan Hoki Hero Asia Cup 2017, Dhaka, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia