Harian Metro

Nyawa melayang

- Abnor Hamizam Abd Manap am@hmetro.com.my

„ Dua beradik hantar adik ke kolej kemalangan dalam perjalanan pulang ke rumah

“Mengikut perancanga­n asal, saya sepatutnya menghantar dua anak ke Kolej Matrikulas­i Negeri Sembilan, Kuala Pilah dan Kolej Vokasional di Jasin, Melaka, tetapi akibat kesuntukan masa anak sulung menawarkan diri menghantar adiknya ke Jasin sebelum terbabit dengan insiden itu.”

Begitu kata Pengurus FELDA Lui Muda Basiron Sulaiman, 54, menceritak­an kejadian yang meragut nyawa anak keduanya, Nur Hidayah, 21, manakala abangnya Muhammad Amirul, 23, parah dalam kemalangan di Jalan Besar Felda Bukit Rokan, di sini, pada jam 4.40 petang kelmarin.

Basiron berkata, kejadian berlaku ketika Nur Hidayah dan Muhammad Amirul, 23, dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Desa Permai, di sini, sebaik menghantar adik mereka, Muhammad Aminuddin, 16, ke kolej vokasional itu.

Katanya, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dipandu Muhamad Amirul dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan mengakibat­kan Nur Hidayah maut di lokasi, manakala abangnya parah lalu dibawa ke Hospital Jempol, di sini, untuk rawatan lanjut.

“Ketika kejadian saya dan isteri (Zaedah Yunus, 52) juga dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar anak ketiga, Norhalizah Norhasanah, 18, ke kolej matrikulas­i berkenaan.

“Sewaktu hampir tiba di kediaman, saya menerima panggilan daripada pekerja penarik kereta memaklumka­n anak terbabit kemalangan,” katanya.

Menurutnya, Muhammad Amirul penuntut Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka, manakala Nur Hidayah pula penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Pentadbira­n di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3, dekat sini.

Katanya, keempat-empat anaknya pulang ke rumah pada Jumaat lalu bagi meraikan Aidiladha bersama.

“Saya sedih dengan pemergian arwah kerana dia anak yang baik, ceria dan rajin membantu ibu di dapur,” katanya.

Menurutnya, biarpun begitu dia bersyukur memenuhi impian arwah menetap di rumah sendiri.

Katanya, mereka sebelum ini menetap di perumahan guru di Bandar Pusat Palong, di sini, kerana isterinya bertugas sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perpatih di FELDA Palong Empat.

“Sejak menetap di rumah sendiri beberapa bulan lalu, arwah gembira kerana keinginann­ya tercapai. Kami mengubahsu­ai dan membersihk­an rumah bersama meraikan Aidiladha,” katanya.

Katanya, arwah kakak yang mementingk­an pelajaran dua adik dan dia sempat membantu Norhalizah dan Muhammad Aminuddin menyiapkan tugasan kolej masing-masing sebelum kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superinten­dan Azham Shah Azlan berkata, mangsa maut di lokasi akibat tersepit dan parah di kepala serta badan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987,” katanya.

 ?? FOTO: ABNOR HAMIZAM ABD MANAP ?? KEMALANGAN di Jalan Besar Felda Bukit Rokan petang kelmarin yang menyebabka­n seorang maut.
FOTO: ABNOR HAMIZAM ABD MANAP KEMALANGAN di Jalan Besar Felda Bukit Rokan petang kelmarin yang menyebabka­n seorang maut.
 ??  ?? NUR Hidayah
NUR Hidayah

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia