Empat acara jadi lubuk emas
Kuala Lumpur: Empat jenis sukan dikenalpasti mampu menjadi ‘lubuk emas’ buat kontinjen negara dalam misi merealisasikan sasaran meraih 103 pingat emas sekali gus muncul juara keseluruhan Sukan Para ASEAN 2017 (Para KL2017).
Jelas Chef de Mission negara Datuk Subramaniam Raman empat jenis sukan itu adalah olahraga, renang, bowling dan berbasikal dan beliau yakin empat sukan itu mampu menyumbang 75 peratus pingat daripada sasaran 103 pingat yang diletakkan buat kontinjen negara pada temasya itu.
“Kekuatan kita adalah dalam empat jenis sukan ini terutamanya selepas mengambil kira faktor empat sukan ini mempertandingkan
(gambar),
lebih 80 acara, jadi peluang untuk kita meraih pingat emas sememangnya tinggi.
“Malah saya tidak ragu-ragu kita mampu menggandakan jumlah kutipan pingat emas berbanding temasya dua tahun lalu memandangkan kita menyertai lebih banyak acara berbanding di Singapura.
“Jika kita berjaya menepati sasaran 103 emas, sudah tentu kita boleh dinobat selaku juara keseluruhan memandangkan kutipan pingat itu menghampiri satu pertiga daripada jumlah keseluruhan 368 pingat emas yang dipertandingkan,” katanya ketika sidang media di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, semalam.
Malaysia muncul selaku kontinjen terbesar selepas membariskan 331 atlet dan 169 pegawai yang menyaksikan 1,452 atlet dari 11 negara mengesahkan penyertaan untuk bertanding dalam 16 sukan membabitkan 368 acara pada temasya sukan yang kini memasuki edisi kesembilan itu.