TIDAK BERKIRA DEMI HOBI
Selalu kita dengar sindir-menyindir antara lelaki dan perempuan mengenai hobi menyolek kereta serta mengumpul tudung berjenama. Ada lelaki dikatakan sanggup berhabis semata-mata untuk kereta, sementara perempuan pula tidak pernah jemu membeli tudung rekaan eksklusif sekalipun selendang sedia ada sudah menimbun banyaknya.
Tidak kira lelaki atau perempuan, golongan ini sememangnya obses mengejar kehendak demi kepuasan diri. Pantang melihat keunikan kereta orang lain, lelaki dari kelompok ini tidak banyak berkira. Malah sebahagian daripada gaji pasti sudah diperuntukkan untuk merealisasikan kereta impian.
Perempuan pula mudah tergoda dengan tutorial bertudung dan ‘teaser’ rekaan terbaru daripada jenama eksklusif yang mereka ikuti. Kalau boleh, setiap helaian warna tudung motif baru hendak dibeli supaya lengkap seluruh koleksi musim berkenaan.
Soal kemampuan diri bagi golongan sebegini bagaikan jatuh nombor dua. Kata mereka, biarlah papa asal bergaya dan ‘up-to-date’. Biar poket nipis asalkan bahagia. Realitinya, berapa ramai antara kita yang boleh bertahan dengan bebanan hutang yang besar?
Kata lelaki, menyolek kereta lebih banyak faedah dan kelebihan berbanding menghabiskan wang ringgit untuk bersosial mahupun menanggung selera besar wanita ‘pisau cukur’. Kepuasan diraih sukar hendak digambarkan dengan kata-kata, apalagi jika memang aktif dalam sukan permotoran.
Belum lagi mengambil kira jenis lelaki yang obses mengubah suai kereta lama. Sudahlah memerlukan modal besar, kebanyakan alat gantinya pula sukar dicari. Di sinilah aplikasi jualan barangan terpakai dan baru dalam talian meraih populariti.
Bagi kelompok yang bijak berniaga, aplikasi dalam talian banyak membantu mereka menjana keuntungan mencecah ribuan ringgit berikutan adanya golongan yang sentiasa dahagakan aksesori unik dan antik. Permintaan tinggi kadangkala menuntut komitmen tinggi pembeli untuk membida harga lebih tinggi berbanding nilai pasaran.
Situasi sama juga berlaku dalam kalangan wanita yang obses melengkapkan koleksi tudung kesayangan. Bayangkan, jika sehelai tudung berjenama sudah mencecah harga antara RM200 ke RM300, berapa pula keuntungan yang boleh diraih selepas berakhirnya jualan koleksi bagi musim berkenaan? Itu tidak termasuk harga mencecah puluhan ribu ringgit untuk koleksi edisi terhad.
Persoalan klise, adakah berbaloi mengeluarkan wang puluhan ribu ringgit untuk menyolek kereta dan mengumpul tudung eksklusif? Bukankah ia satu pembaziran besar? Semua orang sedia maklum, semakin tinggi keinginan, makin besar jugalah modal yang dikeluarkan.
Ibaratnya, tidak ada istilah berhenti selagi belum papa. Jika isu ini dibawa ke medan perdebatan sekalipun, tidak ada siapa yang akan menang melainkan pemilik kedai aksesori dan jenama tudung itu sendiri.
Bagaimanapun, saat persoalan ini dilontar kepada umum, ramai isteri dilihat menyebelahi minat suami menyolek kereta kerana dianggap lebih berfaedah berbanding menghabiskan masa bersosial atau bermain kayu tiga di luar. Lucu bukan? Ada juga yang menyokong suami kerana memahami minat pasangan dan kemampuannya mengembangkan hobi mewah.
Hairannya, suami lebih cenderung mengecam minat isteri dan wanita yang suka mengumpul tudung eksklusif kerana dianggap suatu pembaziran besar, apalagi jika hanya disimpan dan tidak dipakai. Bagi lelaki, hobi seharusnya mendatangkan faedah dua hala iaitu mendapatkan item diimpikan dan berkongsi kepuasan dengan umum.
Tambahan tudung dianggap lebih sinonim dengan fungsi asalnya untuk menutup aurat yang seharusnya bersifat sederhana, menepati syarak dan tidak lari daripada konsep Islam sendiri. Namun, semuanya terpulang kepada kemampuan masingmasing. Asalkan hidup tidak dibebani hutang keliling pinggang, apa saja hobi berfaedah boleh diteruskan untuk terapi diri.
5 JENIS KERETA PILIHAN LELAKI UNTUK DIUBAH SUAI
1. Proton Waja 2. Perodua MyVi 3. Mitsubishi Lancer 4. Subaru Impreza 5. Nissan Skyline
5 JENAMA TUDUNG PILIHAN WANITA OBSES
1. Naelofar Hijab 2. Aidijuma 3. Radiusite 4. Ariani 5. Sugarscarf