FOKUS CIPTA HARMONI
Wenger yakin kembali tarik keyakinan peminat
London
Arsene Wenger berjaya merebut kembali keyakinan penyokong Arsenal dengan memenangi Piala FA tetapi beliau tidak lagi boleh melakukan sebarang kesilapan apabila pasukannya melayan Leicester City pada perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris, awal pagi esok.
Musim lalu adalah tempoh paling sukar buat Wenger sepanjang 21 tahun bergelar pengurus dan namanya sering diejek penyokong Gunners setiap kali pasukannya turun bermain.
Selepas menamatkan spekulasi dengan menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun, beliau mahu terus menumpukan perhatian kepada masa depan dan berkata jika anak buahnya dapat kembali bersatu, penyokong akan kembali berada di belakang mereka.
“Banyak masalah musim lalu disebabkan situasi saya sendiri. Mungkin saya melakukan kesilapan,” kata Wenger selepas Arsenal mengalahkan Chelsea menerusi penentuan penalti pada aksi Perisai Komuniti.
“Secara keseluruhan, saya percaya semuanya terletak di tangan kami sendiri. Semuanya berpunca daripada pasukan.”
Impian Wenger untuk mencipta harmoni di kalangan pemain pastinya membabitkan beberapa pemain utamanya.
Alexis Sanchez, Mesut Ozil, Alex Oxlade-Chamberlain dan Jack Wilshere adalah antara pemain yang bakal menamatkan kontrak masing-masing hujung musim ini.
Sanchez menjadi tumpuan ketika ini apatah lagi namanya sering dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City serta Paris Saint-Germain.
Penyerang Chile itu tidak beraksi di pramusim selepas diberikan rehat tambahan apabila dia membantu pasukan negaranya di Piala Konfederasi selain tidak akan diturunkan awal pagi esok akibat masalah perut.
Wenger akan memulakan kempen musim ini dengan penyokong mengharapkan beliau mengekalkan formasi yang menyaksikan mereka menang pada beberapa perlawanan hujung musim lalu.
Selepas
Wenger menukar corak permainan kepada
3-4-2-1 - taktikal yang diperkenalkan Chelsea
- Arsenal menang tujuh daripada lapan aksi terakhir selain mengejutkan Blues 2-1 di final Piala FA.
Mereka sekali lagi mengalahkan Chelsea apabila kedua-dua pasukan bertemu di Wembley pada perlawanan Perisai Komuniti, Ahad lalu.