Pendek tempoh urusan 3 jam
Jeddah: Langkah Lembaga Tabung Haji (TH) menghantar jemaah ke Tanah Suci lebih awal pada tahun ini berjaya memendekkan tempoh mengurus di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di sini.
Pengarah Operasi Jeddah 1438 Hijrah Mohamad Zamry Mohd Noor berkata, ketibaan jemaah lebih awal membolehkan tempoh menguruskan ketibaan mereka di lapangan terbang lebih mudah dan pendek.
Menurutnya, sebelum ini, pihaknya mengambil masa lima hingga enam jam menguruskan proses ketibaan jemaah termasuk pemeriksaan visa dan suntikan wajib oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Bagaimanapun, katanya, pada musim haji kali ini, proses menguruskan jemaah di lapangan terbang dapat dipendekkan kepada dua hingga tiga jam saja.
Beliau berkata, ketibaan jemaah Malaysia lebih awal menyebabkan mereka tidak perlu bersaing dengan jemaah dari negara lain yang masih belum tiba.
“Ia membolehkan proses kemasukan rasmi mereka menjadi lebih mudah dan keadaan di lapangan terbang juga lebih selesa dan tidak terlalu sesak.
“Ini juga satu kelebihan kepada jemaah Malaysia yang tiba di Jeddah ini.
“Tahun lalu, keadaan bersesak sedikit kerana jadual penerbangan yang tiba lewat dan hampir dengan hari Wukuf,” katanya pada sidang media di Pusat Operasi Ar-Rayyan di sini.
Menurutnya, pihaknya bertanggungjawab menyambut dan menguruskan ketibaan jemaah membabitkan 64 penerbangan keseluruhan dari tanah air.
“Sehingga kini, kita sudah menerima 14 penerbangan membabitkan lebih 5,000 jemaah di Jeddah.
“Keseluruhan jumlah penerbangan akan tiba sehingga 26 Ogos ini,” katanya.
Beliau berkata, proses ketibaan jemaah di Tanah Suci juga lebih lancar apabila pasukan operasi di tanah air sudah diminta membuat tampalan kad ketibaan ketika di Malaysia lagi.
Dari aspek kesihatan, menurutnya, tidak ada jemaah yang ditahan pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi kerana semua mereka sudah menerima suntikan wajib meningitis.
Beliau berkata, penggunaan sistem e-Hajj oleh Kementerian Haji Arab Saudi sejak beberapa tahun lalu dalam mengendalikan ketibaan jemaah haji seluruh dunia turut membantu mempercepatkan proses imigresen dan kastam.
“Kita tidak melihat lagi penggunaan kertas yang banyak, sebaliknya semua proses dilaksanakan menggunakan aplikasi teknologi termasuk pengenalan negara asal jemaah haji,” katanya.