Rumah terbuka Rohingya
Kuala Lumpur: Syarikat penerbangan AirAsia X Berhad, buat julung kalinya meraikan lebih 50 kanak-kanak etnik Rohingya di Sekolah Komuniti Rohingya Kampung Cheras Baru, di sini, semalam.
Pegawai Eksekutifnya Benyamin Ismail berkata, dalam kunjungan pertama ke sekolah berkenaan, lebih 20 kakitangan dan pegawai pengurusan AirAsia X turut meluangkan masa meraikan kanak-kanak berkenaan dalam suasana sederhana tetapi meriah.
“Selain bantuan perayaan seperti hamper dan duit raya, kunjungan hari ini (semalam) juga bertujuan bagi melihat sendiri suasana sebenar sekolah komuniti yang dikendalikan oleh Malaysian Relief Agency (MRA).
“Saya turut mendapat taklimat daripada pihak sekolah dan MRA mengenai operasi mereka di sini termasuk kemudahan pembelajaran yang ada,” katanya.
Justeru, menurut Benyamin, pihaknya akan meneliti pelbagai bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada sekolah berkenaan khususnya berkaitan pembelajaran kanak-kanak Rohingya di situ.
“Saya pasti, lawatan pertama ini sebagai langkah awal kepada satu bentuk bantuan dan kerjasama jangka masa panjang yang berterusan.
“Ia juga sebagai satu bentuk sokongan kami terhadap pelarian etnik Rohingya secara keseluruhan, sama seperti bangsa atau mangsa di seluruh dunia yang memerlukan bantuan umum,” katanya.
Menurutnya, selepas ini AirAsia X bercadang melawat sekolah etnik Rohingya lain di seluruh negara bagi meneliti keperluan atau bantuan yang boleh diberikan.
“Kami akan merangka program bantuan yang lebih khusus dan teratur bagi membolehkan bantuan disalurkan dengan lebih efisyen,” katanya.