TETAMU PEMBUNUH
> Pada sebelah petang dia datang berhari raya. Pada malamnya dia bertandang ke rumah yang sama dan membunuh tuan rumah, seorang pesara tentera dengan mengelar leher mangsa. Suspek yang juga jiran si mati turut mencederakan teruk isteri mangsa, lapor Mohd
Suspek kejadian samun dan bunuh seorang pesara tentera di Taman Bukit Terendak, Sungai Udang, di sini, malam kelmarin adalah jiran mangsa dan turut datang berhari raya pada petang hari kejadian.
Anak bongsu mangsa, Mohd Hishamuddin Abdul Rahman, 29, berkata, ibunya Sabturiah Lakidau, 59, yang parah dalam kejadian itu memberitahu dia mengenali penyerangnya yang tinggal selang lima rumah dari rumah mereka.
“Malah anak saudara saya juga ada beritahu, lelaki itu (suspek) datang beraya di rumah kami petang semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Melaka (HM), semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, ayah Mohd Hishamuddin, Abdul Rahman Pileh,
60, meninggal dunia di tempat kejadian akibat dikelar dengan senjata tajam di leher.
Sabturiah pula yang cedera di leher dan muka dipercayai ditumbuk penjenayah selain leher serta pergelangan tangan turut dikelar kini menerima rawatan di HM.
Mohd Hishamuddin yang juga Pensyarah Kolej Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Alor Setar, Kedah berkata, ibunya masih lemah dan hanya berkomunikasi menggunakan isyarat tangan ketika menceritakan apa yang berlaku.
“Apa saya faham daripada isyarat ditunjuk ibu, ayah diserang selepas pulang dari surau, lelaki itu kemudian serang ibu yang membakar pelapik telur untuk menghalau nyamuk,” katanya.
Menurutnya, apabila ibu bertanya keadaan ayahnya dia terpaksa berbohong kononnya Abdul Rahman tidak cedera dan sudah pulang ke rumah.
“Kalau beritahu hal sebenar saya risau kesihatan ibu terjejas, jadi saya kata ayah okey dan sudah pulang ke rumah,” katanya.
Mohd Hishamuddin berkata, ibunya yang berniaga di kafetaria Kem Terendak kini stabil selepas menjalani pembedahan namun masih belum boleh bercakap akibat kecederaan dialami.
Dia turut kesal berhubung tindakan pihak tertentu menyebar berita palsu yang ibunya sudah meninggal dunia.
“Saya baru saja jumpa ibu dan dia di dalam dewan bedah sejak 6 pagi tadi (semalam). Doktor beritahu, ibu saya stabil dan memberi tindak balas setiap kali disoal,” kata.
Mengenai bapanya, Mohd Hishamuddin berkata, arwah sebelum ini sudah tidak bersemangat meneruskan hidup selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang.
Namun dia dan dua lagi adik-beradik bersama ibu mereka tidak putus memberi sokongan kepada arwah supaya dia positif meneruskan hidup walaupun menghidap penyakit buah pinggang kronik.
Malah, dia tidak kisah bersusah payah pulang ke Melaka dari Kedah setiap minggu semata-mata mahu menemani ayahnya menjalani rawatan dialisis.
“Boleh kata setiap minggu saya ambil cuti. Apabila dia sudah menjadi lebih positif, tiba-tiba orang tikam dia hingga mati, bagaimana agaknya keadilan yang saya inginkan,” katanya.
Mohd Hishamuddin berkata, arwah bapanya yang pernah berkhidmat dengan Batalion ke-9 Rejiman Askar Melayu Diraja (RAMD) (Para) menghidap penyakit buah pinggang sejak dua tahun lalu dan kerap menjalani rawatan haemodialisis.
Menurutnya, menerusi pemerhatian dilakukan pada jenazah bapanya, terdapat satu kecederaan seperti tusukan menggunakan senjata pada leher.
Difahamkan, kejadian berlaku sejurus Abdul Rahman pulang dari surau selepas menunaikan solat Maghrib.
Menurutnya, sudah menjadi rutin setiap kali pulang ke Melaka pada hujung minggu ayah bersama ibu akan menjemputnya di Melaka Sentral.
“Kali terakhir saya bercakap dengan ayah 5.25 petang, semalam (kelmarin) ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Alor Setar untuk mengingatkan supaya jangan lupa jemput saya.
“Biasanya jam 8 malam arwah sudah tunggu di tempat biasa kami. Tapi semalam (kelmarin) saya tunggu sampai jam 8.25 tapi arwah masih belum muncul dan berasa pelik.
“Tak lama kemudian ada jiran hubungi saya memaklumkan ayah terbabit kemalangan kereta dan minta saya segera pulang. Bila sampai di rumah barulah saya tahu perkara sebenar,” katanya.
Jenazah Abdul Rahman dituntut keluarganya jam 5.30 petang semalam dan dibawa ke kampung keluarganya di Kampung Tumang, Johol, Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk dikebumikan.