Orang tengah ambil kesempatan akibat daif prosedur undang-undang
Kuala Lumpur: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengakui terdapat beberapa jenis ‘ulat’ atau orang tengah dikesan menjalankan aktiviti di mahkamah syariah di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru yang dilihat semakin menjadi-jadi sejak penghujung tahun lalu.
Mereka akan berlegar-legar di premis mahkamah atau kafe dengan berpakaian seperti peguam sebelum menghampiri orang awam yang mempunyai kes sebelum masuk ke dewan mahkamah untuk memberi kad nama sambil memberitahu ‘khidmat’ yang ditawarkan.
Apa yang menyedihkan, golongan itu hanya mahu mengambil kesempatan di atas masalah orang lain terutama yang tidak mengetahui prosedur kerana mereka kadang-kala tidak mewakili sebarang pejabat guaman, sekali gus ‘menganggu’ perjalanan kes hingga terbengkalai di tengah jalan akibat nasihat yang salah.
Presiden PGSM Musa Awang berkata, golongan ulat berkenaan terdiri daripada mereka yang kebiasaannya menjalankan aktiviti pernikahan luar negara, malah apa yang mengejutkan ada bekas peguam syarie turut terbabit sama.
“Ya, ada segelintir daripada mereka (ulat) terdiri daripada bekas peguam sendiri. Mereka ini diterima masuk sebagai peguam syarie, tetapi perlu memperbaharui sijil tauliah setiap tahun.
“Bagaimanapun, apabila tamat tempoh (tauliah) mereka tidak mahu memperbaharui sijil itu, sebaliknya mengambil kesempatan dengan menawarkan khidmat nasihat guaman, mengajar orang awam menyediakan ‘pliding’ (pernyataan bertulis), selain memberi ceramah mengenai undang-undang syariah,” katanya.
Menurut Musa, berbanding peguam syarie bertauliah, kebiasaannya ulat-ulat berkenaan mengenakan bayaran tidak munasabah dan lebih mahal daripada bayaran ditetapkan.
“Kami mula mengesan kegiatan ulat ini apabila ada aduan orang awam mendakwa kes mereka tidak berjalan dengan baik di mahkamah. Hasil pemeriksaan, kami mendapati tidak ada nama ‘peguam’ (yang digunakan) itu dan secara tidak langsung mangsa mengalami kerugian akibat ditipu.
“Sebagai contoh, harga untuk khidmat seorang peguam syarie bagi kes cerai antara RM4,000 sehingga RM5,000, tetapi ada aduan mendakwa ulat ini mengenakan bayaran antara RM7,000 sehingga RM8,000,” katanya.
Musa berkata, ada antara ulat berkenaan terdiri daripada wakil syarikat yang menjalankan perkhidmatan untuk individu yang mahu bernikah di negara jiran.
“Kebiasaannya mereka ini turut membuat pakej iaitu menguruskan pernikahan di negara jiran dan apabila balik ke Malaysia, mereka akan uruskan pendaftaran nikah, di sini. Mereka kemudian akan mengenakan caj antara RM4,000 hingga RM5,000 sedangkan kos sebenar hanya RM500 saja.
“Mereka akan menolong individu terbabit untuk mengisikan borang sebelum memfailkan permohonan di mahkamah dengan mengenakan bayaran. Ulat ini dikesan berada dalam mahkamah dengan duduk di bahagian belakang untuk mengesan klien (mangsa) berpotensi menggunakan perkhidmatan mereka,” katanya.
Katanya, pihaknya kini sedang berusaha keras untuk menghapuskan golongan ulat, dan boleh didakwa mengikut Kanun Keseksaan dan Enakmen Jenayah Syariah jika terdapat laporan polis dibuat terhadap individu yang menyamar sebagai peguam.
“Kehadiran ulat ini secara tidak langsung memberi kesan kepada orang awam. Bayangkan individu yang tidak mempunyai latar belakang perundangan membawa kes anak guam kerana gelap mata mahukan wang. Ini akan melambatkan prosiding kerana ada kemungkinan dokumen yang dibawa tidak lengkap,” katanya.