Impi harum nama negara
Wakil pertandingan robotik antarabangsa janji persembahan terbaik
“S aya akan buat yang terbaik dan harumkan nama Malaysia di sana nanti,” kata Raja Adam Ahmad Raja Iskandar, 15, yang terpilih mewakili Malaysia ke pertandingan robotik antarabangsa di Washington, Amerika Syarikat, 16 Julai ini.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian itu terpilih mewakili negara bersama enam lagi pelajar lain termasuk Muhammad Razif Jamil (MRSM Lenggong), Janice Poh Zi Yi (SMK Convent Taiping) dan Muhammad Rais (SM Sains Sultan Mahmud).
Turut serta, Muhammad Arash Danial Mohd Hamdan (MRSM Johor Bahru), Khairul Amirin Syahrean dan Muhammad Fakhrul Khir Abdul Samat (Malay College Kuala Kangsar) yang berusia 15 ke 17 tahun.
Raja Adam Ahmad berkata, dia gembira apabila terpilih menyertai pasukan itu dan mereka sudah bersedia dengan melakukan pelbagai latihan membina robotik dalam beberapa siri pertemuan di Kuala Lumpur sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, dia akan berlepas ke Amerika Syarikat pada 14 Julai dan membawa bersama robot yang dibina bersama rakan sepasukan.
“Pertandingan itu memberi cabaran kepada kami kerana disertai lebih 150 negara. Takut memang ada, tapi kami tetap bersemangat untuk melakukan yang terbaik,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Telipot, semalam.
Terdahulu, pelajar tingkatan tiga itu menerima wang tunai RM2,000 untuk kegunaan ke pertandingan itu yang disampaikan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Jaafar Ismail.
Sementara itu, Jaafar berkata, kejayaan Raja
Ahmad Adam menjadi peserta tunggal negeri dan mewakili Malaysia menjadi kebanggaan pihaknya serta seluruh warga pendidik.
“Ini satu contoh terbaik membuktikan pelajar kita mampu berjaya dalam apa jua bidang hasil daripada pendidikan berkualiti ditawarkan selama ini,” katanya.