Mujur anak ke kedai
Rumah rosak, bilik sembahyang terbakar
Ketika kejadian dua
anak saya tiada di rumah
M Thevaki
“Mujur ketika kejadian dua anak saya tiada di rumah kerana keluar membeli sarapan di kedai berhampiran,” kata M Thevaki, 41, mengenai kebakaran sebuah bilik di rumah sewanya di tingkat lima Flat Taman Kulim Square, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 6.50 pagi, bilik di bahagian tepi rumahnya yang dijadikan tempat sembahyang serta menyimpan peralatan dapur hampir musnah.
Thevaki yang juga pekerja am syarikat pembersihan berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana keluar bekerja.
“Hanya dua anak lelaki saya berusia tiga dan 12 tahun berada di rumah. Biasanya apabila waktu pagi selepas bangun tidur, anak sulung bersama adiknya akan keluar membeli sarapan.
“Saya menerima berita kebakaran rumah jam 7 pagi (semalam) lalu bergegas pulang. Saya begitu risau dengan keadaan anak, sebelum jiran memaklumkan mereka berdua selamat,” katanya.
Katanya, dia juga berterima kasih kepada jiran dan anggota bomba yang cepat bertindak bagi mengelakkan api merebak.
“Kebakaran itu disedari jiran yang hendak keluar bekerja apabila ternampak asap tebal dari tingkap sebelum dia memanggil jiran lain.
“Beberapa jiran datang memanggil dua anak saya sebelum mengetahui mereka keluar ke kedai. Disebabkan pintu berkunci, mereka memecahkannya untuk memadamkan kebakaran serta menghubungi pihak bomba,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Mohd Yusri Yussof berkata, pihaknya menerima pangilan kecemasan pada jam 7.01 pagi sebelum dua jentera dan sebuah ambulans Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) bersama 11 anggota dikerah ke lokasi.
Katanya, rumah berkenaan mengalami kerosakan 35 peratus dan setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.