Maya Karin ganti Nabila Huda
Selepas meraih kejayaan besar sama ada dari sudut kutipan di panggung mahupun anugerah di Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28), pengarah terkenal, Syamsul Yusof akan menerbitkan filem sekuel Munafik.
Cik Pang yakin ramai yang tahu perancangan ini, malah untuk sekuel Munafik, Syamsul juga mahu melamar pelakon dari Indonesia seperti
Dian Sastrowardoyo memandangkan sewaktu Munafik ditayangkan di sana, ia mendapat sambutan amat menggalakkan.
Untuk pembikinan kali ini, difahamkan penggambaran akan dilakukan di seberang dan membabitkan beberapa pelakon Indonesia agar ia menarik perhatian penonton di sana.
Tapi Cik Pang dengar, ada beberapa perubahan dilakukan kali ini termasuklah pelakon utama wanitanya turut ditukar.
Jika sebelum ini heroinnya Nabila Huda tetapi untuk sekuelnya, Syamsul menampilkan Maya Karin. Cik Pang tanya juga mengapa memilih Maya Karin dan apa signifikannya dia mengambil Maya untuk menggantikan Nabila Huda.
Kata sumber, kalau diteliti jalan cerita memang watak dijayakan Nabila dalam Munafik sudah mati, jadi sesuailah jika watak baru dihidupkan untuk sekuelnya.
Hendak diikutkan perancangan awal sewaktu mahu menghasilkan Munafik, watak dijayakan Nabila itu asalnya ditawarkan kepada
Maya tetapi ketika itu dia sibuk lalu Syamsul menawarkannya kepada Nabila.
Sudah tertulis rezeki milik Nabila apabila dia turut menang anugerah Pelakon Wanita Terbaik di FFM 28 menerusi filem Munafik.
Kali ini jadual Maya tidak terlalu padat dan membolehkan dia menerima tawaran diberikan. Tambah pula Maya Karin dan filem seram memang tidak boleh dipisahkan.
Kepada peminat Maya yang merindui lakonannya selepas Pontianak Harum Sundal Malam, bakal terubat dan khabarnya filem terbabit akan memulakan penggambaran bulan ini atau April depan. Majlis pelancarannya akan diadakan Khamis ini.