Kumpul data pemain mampu nilai tahap intensiti
dari London ini bakal menjadi bingkisan terakhir saya. Saya kini memasuki minggu terakhir program kejurulatihan bersama Queens Park Rangers (QPR).
Sememangnya saya dan Brad Maloney mendapat pengalaman cukup bermakna selama empat minggu di sini yang saya percaya dapat membantu karier kejurulatihan kami selepas ini.
Saya mengakui Ian Halloway memiliki cara berbeza dalam mempersiapkan pasukannya.
Beliau hanya bersama dengan pemain dua hari sebelum perlawanan dan selebihnya pemain diuruskan penolong pengurus dan jurulatih skuad utama.
Salah satu perkara menarik yang saya sedari adalah keseluruhan sistem kejurulatihan cukup berkesan hasil perancangan pakar sains sukan Jack Sharkey dalam melakukan kaedah latihan dan methodologi.
Pakar sains sukan itu akan mengumpul segala data harian dalam latihan dan membuat perbandingan setiap minggu sebelum memberikan nasihat kepada barisan kejurulatihan mengenai tahap intensiti.
Apa yang paling penting seperti saya katakan sebelum ini mereka bekerjasama baik bersama skuad bawah 23 tahun dari segi latihan dengan corak permainan seperti diterapkan pasukan senior.
Kesemua staf mempunyai tugas masing-masing dan tidak pernah mempertikaikan tugasan diberikan.
Kami banyak mempelajari terutama dari aspek taktikal sebelum perlawanan. Halloway akan menganalisa kekuatan dan kelemahan lawan bersama barisan kejurulatihan dan dua pakar analisis sukan.
Kami juga diberikan peluang mengikuti perbincangan itu dan dibenarkan memberikan pandangan.
Ini minggu terakhir kami di sini dan saya akan kembali ke tanah air Khamis depan.
Sebaik saya tiba nanti, senarai pemain pelatih bagi menghadapi perlawanan menentang Korea Utara akan diumumkan.
Saya berdepan beberapa masalah memanggil pemain terbaik dengan beberapa pemain mengalami kecederaan seperti Baddrol Bakhtiar dan Fadhli Shas.
Mengenai kedudukan sebagai jurulatih kebangsaan, saya tegaskan di sini bahawa fokus hanyalah persiapan perlawanan dengan Korea Utara dan aksi persahabatan antarabangsa menentang Filipina di Manila. Fokus saya langsung tidak terjejas dengan isu itu.
Jika majikan saya FAM memutuskan mahu melakukan perubahan dalam barisan kejurulatihan kebangsaan, maka saya tidak boleh berbuat apa-apa.
Ada juga yang menimbulkan spekulasi saya akan memanggil semua pemain bersara namun sehingga kini masih belum ada kenyataan rasmi mereka mahu kembali.
Akhir sekali saya ingin mengucap terima kasih kepada AirAsia, QPR, Ruben Emir Gnanalingam, Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun kerana memberi peluang kami menimba ilmu dan pengalaman cukup bermakna di sini.