‘Gol Selangor tidak sah!’
Bekas pengadil dakwa gol penyamaan Mineiro langgar Undang-Undang 14 FIFA
“Gol penyamaan pemain Selangor itu tak sah.” Demikian pandangan bekas pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila mengakui jaringan Julian Mineiro jelas melanggar Undang-Undang 14 FIFA berkaitan sepakan penalti.
Tidak mahu namanya didedahkan, beliau mempertikaikan keputusan pengadil perlawanan Mohd Zohri Tajuddin yang membenarkan jaringan berkenaan apabila menyifatkan kesilapan berkenaan membabitkan soal teknikal berbanding pendapat.
Jelasnya, aspek teknikal adalah asas dalam pengadilan yang tidak sepatutnya berlaku berbanding aspek pendapat ketika mengadili sesuatu perlawanan.
“Aspek teknikal berkaitan perkara asas dalam pengadilan manakala pendapat pula lebih kepada situasi layangan kad seperti perlanggaran antara pemain atau kekasaran dilakukan.
“Kesilapan teknikal pula menjurus kepada perkara paling asas contohnya membenarkan pasukan bermain dengan 12 pemain. Begitu juga dengan situasi sepakan penalti yang dibuat pemain Selangor (Mineiro) itu jelas tidak sepatutnya berlaku.
“Pemain Selangor secara jelas dan terang-terangan menceroboh hampir dua atau tiga meter di dalam kotak penalti sebelum sepakan disempurnakan.
“Sepatutnya, dalam kes itu, pengadil perlu membatalkan jaringan gol dan sepakan percuma perlu diberikan kepada pasukan Kedah, di tempat pemain Selangor itu bergerak masuk menceroboh,” katanya ketika dihubungi semalam.
“Pengadil sepatutnya lebih berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan dari awal sebaik saja sepakan penalti diberikan dengan mengingatkan penjaga gol dan pemain di luar dari kawasan penalti agar mematuhi peraturan permainan.
“Mungkin pengadil hilang tumpuan pada hujung permainan sehingga menyebabkan beliau terlepas beberapa perkara penting seperti itu. Apatah lagi terdapat tidak kurang daripada 21 perkara berkaitan prosedur yang perlu dipatuhi.”
Katanya, berdasarkan peraturan sedia ada Zohri boleh berdepan hukuman berat atas kesilapannya itu.
“Antara bentuk hukuman, termasuk digantung tugas selama beberapa minggu atau lesennya boleh dibatalkan,” katanya.