‘Saya aktif bersukan berkat doa ibu’
Kuala Nerus: “Saya buat semua ini (aktif bersukan) khas untuk ibu yang banyak mendoakan kejayaan saya,” kata Olahragawati Terengganu 2015/2016 Siti Rahmah Mohamad Nasir.
Atlet pencak silat negara berusia 30 tahun dari Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu itu dinobat penerima anugerah berkenaan selepas mengetepikan tiga calon lain, Alia Sazana Azahar (menembak), Siti Nor Farhana Mustafa (bola jaring) dan Fatehah Mustapa (berbasikal) pada Malam Anugerah Sukan Terengganu (AST)2015/2016 yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, malam kelmarin.
“Saya bersyukur kerana selepas lima kali tersenarai sebagai calon, akhirnya saya dinobatkan pemenang. Anugerah ini membakar semangat saya untuk mencipta lebih banyak kemenangan bagi mengharumkan nama negeri dan negara,” katanya.
Sementara itu, kategori Olahragawan Terengganu disandang pemenang gangsa acara keirin Olimpik Rio Azizulhasni Awang yang menewaskan empat calon lain - Mohamad Fairus Abd Jabar (boling padang), Razak Ghazali (pencak silat), Mohd Hafifi Mansor (angkat berat) dan Mohd Nafiizwan Mohd Adnan (skuasy).
Majlis penganugerahan disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.
Olahragawan dan Olahragawati masing-masing membawa pulang RM7,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil.
Bagi kategori Olahragawan dan Olahragawati Harapan, ia dimenangi atlet muay thai Mohammad Azizi Shamsuddin dan pemain golf Nur Durriyah Damian.
Terengganu Cycling Team (TSG) pula dipilih Pasukan Lelaki Terbaik manakala tiada pemenang bagi Pasukan Wanita Terbaik kerana calon tidak memenuhi kriteria pencalonan anugerah.