Dua suspek bunuh 3 sekeluarga ditahan
Sepang: Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Selepas hampir empat tahun bebas, dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan tiga sekeluarga di sebuah rumah di Taman Dengkil Jaya, Dengkil, Selangor 29 Ogos 2013, berjaya diberkas pihak polis.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, kedua-dua suspek ditahan pada jam 9.30 malam kelmarin dan jam 5.30 petang semalam.
Katanya, penahanan kedua-dua suspek berusia 20 dan 22 tahun itu dibuat selepas mendapat maklumat dan berdasarkan siasatan yang dilakukan.
“Berikutan itu, padanan profil asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan dan didapati lelaki berkenaan boleh dikaitkan dengan kejadian pembunuhan terbabit.
“Kejayaan ini membuktikan kejayaan pihak forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membantu menyelesaikan satu kes jenayah berat yang sudah berlaku,” katanya.
Pada 30 Ogos 2013, Harian Metro melaporkan tiga sekeluarga maut termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun disembelih di rumah teres setingkat di Taman Dengkil Jaya.
Mangsa adalah seorang wanita warga emas dikenali sebagai Muniamah, 64, seorang cucu lelakinya, Kugan, 21 dan cucu angkat Muniamah, Yamuni, 2, yang ditemui jam 2.30 petang oleh ahli keluarga mereka.
Mayat ketiga-tiga mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dengan kesan tikaman dan kelar senjata tajam masing-masing di leher, perut, dahi dan beberapa bahagian badan lain di ruang tamu serta bilik di rumah itu.
Pada 8 September 2013, polis mengesahkan kes pembunuhan tiga sekeluarga itu dipercayai bermotifkan samun berikutan ada beberapa barang milik mangsa hilang dari rumah berkenaan, dan suspek yang terbabit dalam kes berkenaan masih dikesan.