Cacing dah kurang
Hulu Terengganu: Selepas sebulan menggemparkan penduduk kampung dan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Ping, di sini, kehadiran cacing tanah di kawasan itu kini sudah berkurangan selepas beberapa pihak membantu melakukan proses penyemburan air garam dan pembersihan yang dilakukan minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Tok Lawit, Suhaimi Ali, 56, berkata, kehadiran cacing sejak sebulan lalu sudah tidak kelihatan selepas kerja pembersihan dilakukan itu.
Menurutnya, pihaknya dan penduduk sekitar kini lega dengan keadaan itu kerana agak terganggu dengan kehadiran cacing dalam jumlah yang banyak sebelum ini.
Mereka lega apabila dimaklumkan oleh penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bahawa cacing terbabit keluar dan memenuhi kawasan itu berkemungkinan disebabkan ia keluar untuk mengawan.
“Namun, UMT menjalankan kajian terperinci dan mengambil sampel cacing dan tanah di kawasan itu untuk penyelidikan lanjut dan difahamkan kehadiran cacing itu tidak memudaratkan penduduk setempat.
“Selepas melalui proses pembersihan kini tidak kelihatan ribuan cacing yang keluar ke permukaan dan sekiranya ada hanya satu atau beberapa ekor saja,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Menurutnya, kehadiran cacing itu disedari sejak 15 Disember lalu dan selepas genap sebulan iaitu pada 15 Januari lalu kehadiran cacing berkenaan beransur kurang.
Katanya, pihaknya berterima kasih kepada semua pihak yang datang membantu termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu dan UMT.
“Fenomena yang jarang berlaku ini perlu dilihat secara positif dan sepanjang kehadiran cacing itu, ia tidak mendatangkan masalah besar kepada penduduk, malah ada individu datang memungutnya untuk dijual sebagai umpan,” katanya.
Penduduk Jafar Mamat, 66, berkata, cacing terbabit tidak ada lagi berbanding pada Disember lalu hingga menjadi tanda tanya kepada penduduk mengenai fenomena itu.