Kian Meng, Pei Jing bermula cemerlang
Sibu: Selepas kecewa dengan penarikan diri beberapa pemain utama negara, beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing memberikan sedikit keceriaan buat penduduk setempat apabila bermula dengan langkah kanan di Masters Malaysia selepas mengalahkan Ferdinand Sinarta Surbakti-Cynthia Shara Ayunidha (Indonesia) di pusingan pertama semalam.
Kian Meng-Pei Jing yang juga pilihan kedua kejohanan mencatat kemenangan 21-8, 21-7 untuk mara ke pusingan kedua bertemu wakil Malaysia/Indonesia, Arif Latif-Rusydina Antardayu Riodingin hari ini.
Menurut Kian Meng, lawan mereka tidak terlalu kuat dan dia bersama Pei Jing hanya beraksi dengan lebih menumpukan perhatian kepada penyesuaian gelanggang.
“Ini seperti menguji gelanggang dan saya rasa esok (hari ini) kami boleh meningkatkan sedikit permainan. Esok kami akan menentang Arif, paling menarik saya bekas pemain perseorangan dan begitu juga dia. Dia sudah tahu permainan saya. Saya juga sudah tahu permainan dia,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.
Sementara itu, Pei Jing pula sangat teruja dengan sokongan diberikan peminat setempat dan sedikit sebanyak membantu meningkatkan semangat mereka.
“Mereka sangat bagus (penyokong) dan apabila mendengar pengumuman pemain dari Malaysia mereka akan memberi sokongan. Saya suka sokongan seperti ini. Mengenai mara sehingga ke akhir, saya tidak berani lagi untuk fikir tapi akan cuba mencari keputusan cemerlang seperti tahun lalu (mara sehingga ke akhir),” kata Pei Jing.
Turut cemerlang satu lagi pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang mengalahkan Tedi Supriadi-Devi Tika Permatasari (Indonesia) 21-19, 21-12 dan mereka akan berentap dari lawan negara sama, Satrya Aditha-Aghisna Fathkul Laili hari ini.
Kegembiraan beregu campuran gagal diteruskan wakil perseorangan lelaki negara, apabila pemain tumpuan Zulfadli Zulkiffli terkandas di pusingan kedua selepas tumpas kepada Hsueh Hsuan Yi dari Taiwan 21-19, 18-21, 12-21.
“Macam biasa ini kali kedua saya kalah di Masters Malaysia (kali pertama tahun lalu) dan menang set pertama tapi akhirnya tumpas. Saya sudah cuba yang terbaik tapi lawan mula mendapat keyakinan di set kedua, saya pula banyak melakukan kesilapan mudah kerana terlalu cepat hendak mematikan bola,” katanya.
Nasib sama turut berlaku kepada R Satheishtharan yang tumpas kepada Anthony Sinisuka Ginting 14-21, 14-21 dan pemain dari Indonesia itu akan berdepan pemenang emas Sukan SEA Singapura 2015, Chong Wei Feng yang mengalahkan Henrikho Kho Wibowo (Indonesia)21-15, 21-9.
Dalam pada itu pasangan beregu lelaki yang sedang meningkat naik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengejutkan pilihan ketujuh dari Hong Kong, Or Chin Chung-Tang Chun Man selepas menang 16-21, 21-18, 21-18 dan akan menentang Lu Ching Yao-Yang Po Han (Taiwan).