Penolong pegawai tanah direman 6 hari
Johor Bahru: Mahkamah Majistret, semalam, membenarkan tahanan reman selama enam hari terhadap seorang Penolong Pegawai Tanah, Pejabat Tanah Daerah Johor bagi membantu siasatan berhubung kes membabitkan salah guna kedudukan.
Penolong Pendaftar Nurhidayah Abd Manaf membenarkan permohonan dikemukakan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Mohammad Firdaus Ameer Yusoff untuk menahan reman lelaki yang berusia 50-an itu sehingga 4 Disember ini.
Perintah itu membolehkan suspek disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan kes dihadapinya.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Perintah reman terhadap suspek susulan tindakan SPRM menahan seorang penolong pegawai tanah dan pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing di Pejabat Tanah dan Daerah di Johor dan pejabat PBT di Melaka.
Penolong Pegawai Tanah terbabit ditahan di pejabat SPRM Johor pada 2 jam petang kelmarin manakala pegawai PBT ditahan di satu lokasi di bandar Melaka.
Sumber SPRM berkata, Penolong Pegawai Tanah itu dipercayai memiliki sekitar 33 hektar tanah serta aset perumahan mewah di beberapa lokasi yang di luar kemampuannya sebagai penjawat awam.