Harian Metro

Pemandu teksi bawa 2.7 kilogram heroin

-

Ipoh: Kegiatan seorang pemilik teksi berusia 65 tahun yang menggunaka­n kereta sewanya untuk mengedar dadah akhirnya terbongkar apabila dia diberkas polis bersama 2.7 kilogram heroin yang ditemui dalam teksinya di susur keluar Plaza Tol Gopeng, Lebuhraya Utara-Selatan, Kampar, dekat sini, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Asisten Komisioner V R Ravi Chandran berkata, susulan daripada tangkapan dan rampasan dadah pada jam 9.07 pagi itu, dua lagi lelaki yang dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah berkenaan yang berusia 43 dan 44 tahun diberkas di sebuah rumah serta tepi jalan di kawasan Malim Nawar, Kampar.

Menurutnya, serbuan dibuat sepasukan pegawai dan anggota dari JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar yang mendapat maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan pengedaran dadah dijalankan sindiket berkenaan.

“Dalam serbuan pertama, polis bertindak menahan sebuah teksi di plaza tol berkenaan yang dipandu seorang lelaki berusia 65 tahun yang juga pemilik teksi.

“Pemeriksaa­n lanjut yang dilakukan menemui dadah dipercayai heroin di bawah alas kaki bahagian tempat duduk penumpang hadapan yang dianggarka­n bernilai RM40,658 serta boleh dibekalkan kepada lebih 3,500 penagih,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, semalam.

Ravi Chandran berkata, hasil tangkapan pertama itu, dua lagi tangkapan dibuat dua jam kemudian dan sindiket berkenaan dipercayai aktif mengedar dadah sekitar kawasan Kampar, Gopeng dan Malim Nawar sejak tiga bulan lalu.

Menurutnya, semakan terhadap dua lagi tangkapan mendapati suspek berusia 43 tahun memiliki lapan rekod jenayah lampau membabitka­n kes dadah dan suspek berusia 44 tahun dikesan positif dadah jenis morfin.

“Polis sedang menyiasat modus operandi dijalankan sindiket ini bagi mengenalpa­sti saki-baki ahli sindiket yang berkemungk­inan menggunaka­n perkhidmat­an teksi untuk mengaburi polis tentang kegiatan mereka.

“Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari hingga 28 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan dihukum mati mandatori,” katanya.

 ??  ?? RAVICHANDR­AN (dua kanan) bersama pegawainya menunjukka­n dadah yang dirampas di IPK Perak, semalam.
RAVICHANDR­AN (dua kanan) bersama pegawainya menunjukka­n dadah yang dirampas di IPK Perak, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia