Razip serah kepada PBNP
Kuantan: Razip Ismail
menyerahkan kedudukannya selaku jurulatih kepada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang bakal menentukan sama ada khidmatnya masih diperlukan atau tidak untuk musim depan.
Namun, bekas pemain kebangsaan itu yang masih memiliki baki kontrak hingga hujung tahun ini sedia menerima segala keputusan dan tidak berkecil hati jika khidmatnya tidak disambung kerana beranggapan beliau sudah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan
(gambar)
pada tahap terbaik.
Katanya, kejayaan Pahang kekal dalam saingan Liga Super musim depan secara tidak langsung membuktikan beliau melepasi misi yang ditetapkan kerana skuad bekas juara Piala Malaysia itu dilihat bergelut pada sebahagian besar musim ini.
“Bagi saya, Indeks Prestasi Utama (KPI) ditetapkan PBNP sudah dipenuhi walaupun gagal membantu Pahang layak ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.
“Tapi apabila membantu Pahang melonjak ke kedudukan sembilan selepas berada di dasar liga dalam tempoh lama sudah cukup untuk memuaskan hati dan saya sudah melakukan yang terbaik buat pasukan walaupun tidak dapat menyenaraikan barisan pemain terbaik terutama pada jendela perpindahan lalu.
“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana pemain sedia ada berjaya memastikan skuad ini kekal dalam liga musim depan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Mengulas keputusan seri 1-1 dengan T-Team kelmarin, beliau meluahkan rasa puas hati dengan semangat dan komitmen semua pemain termasuk pemain muda yang diberi peluang berada dalam kesebelasan utama.
Menurutnya, biarpun misi utama mengutip tiga mata tidak kesampaian, keupayaan mengikat tuan rumah sememangnya sudah cukup bermakna.
“Saya berterima kasih kepada pemain dan mengharapkan pemain muda dapat meningkatkan lagi prestasi mereka supaya dapat bersaing dengan pemain lebih pengalaman,” katanya.