Diaz paling bisa
Muncul penjaring terbanyak Liga Super, menang Kasut Emas
Pemain import Johor Darul Ta'zim (Johor DT) Jorge Pereyra Diaz mencipta sejarah tersendiri apabila muncul penjaring terbanyak Liga Super sekali gus dinobatkan selaku pemenang Kasut Emas musim ini.
Diaz yang kembali menyertai skuad Harimau Selatan pada musim ini selepas dipinjamkan ke kelab Indenpendiente di Liga Argentina musim lalu bagaikan membuktikan sentuhan berbisanya apabila meledak 18 jaringan sepanjang kempen Liga Super tahun ini.
Malah, satu daripada dua gol Johor DT untuk memastikan kemenangan 2-1 menewaskan Selangor pada aksi terakhir liga malam kelmarin memastikan statusnya selaku penjaring terbanyak musim ini biarpun dicabar rakan sepasukan Juan Martin Lucero yang menjaringkan 16 gol selain bekas pemain import FELDA United, Francis Forkey Doe yang menghasilkan 15 gol.
“Sudah tentu saya gembira dengan pencapaian yang diraih dan amat berterima kasih kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberi kepercayaan untuk saya beraksi dalam skuad Johor DT.
“Saya juga ingin menghadiahkan kejayaan itu kepada penyokong Johor DT yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan sehingga melonjakkan semangat untuk beraksi dengan cemerlang dalam setiap perlawanan.
“Tanpa bantuan rakan sepasukan, agak sukar untuk saya menjaringkan 18 gol sepanjang saingan liga dan ia adalah hadiah paling bermakna buat saya kerana kami bukan saja mencatat rekod tanpa kalah sepanjang musim ini malah saya turut memenangi Kasut Emas dan menjuarai liga tiga musim berturut-turut,” katanya.
Bagaimanapun, Diaz mengaku agak terkilan kerana tidak dapat membantu skuad Harimau Selatan mempertahankan Piala AFC selepas tewas kepada kelab dari India, Bengaluru FC 4-2 secara agregat gara-gara digantung satu perlawanan.
Katanya, suka dan duka yang dialaminya sepanjang musim ini memberi pengajaran kepada setiap pemain untuk lebih bersedia pada musim depan dan pastinya ia akan lebih mencabar dan keinginan untuk mengekalkan status selaku penjaring terbanyak tetap dijadikan sasaran.
“Semestinya saya perlu bekerja lebih keras lagi pada musim depan dan ingin mengekalkan status penjaring terbanyak liga dan berharap prestasi lebih cemerlang bakal ditonjolkan bukan saja untuk diri saya malah buat skuad Johor DT,” kata Diaz.