Harian Metro

KBS harap peruntukan Program Podium, KitaJuara dikekalkan

-

Petaling Jaya: Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) berharap peruntukan Program Podium, Kita Juara dan sukan untuk semua akan dikekalkan atau ditambah pada pembentang­an Bajet 2017 pada 21 Oktober ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaska­n tiga sektor itu mempunyai matlamat dan tujuan tersendiri.

“Saya akan memaklumka­n kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), kita boleh susun keutamaan dan mengurangk­an perkara yang tidak relevan tahun depan namun tiga sektor ini mesti dikekalkan atau ditambah sedikit,” katanya.

Malah menurut Khairy, beliau gembira dengan pengumuman dengan kemungkina­n peningkata­n peruntukan untuk sukan pada tahun depan.

“Saya kira sukan antara yang perlu diberikan keutamaan kerana ia adalah pelaburan berbaloi. Ia bukan saja pulangan kepada sukan namun semangat dan kegembiraa­n kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Tambahan pula kita mahu muncul juara keseluruha­n Sukan SEA, jadi peruntukan yang mencukupi diperlukan bagi persiapan terbaik,” katanya.

Mengenai Hari Sukan Negara (HSN), beliau berkata sasaran untuk tahun depan adalah membabitka­n 10 juta individu iaitu kira-kira 30 peratus rakyat Malaysia.

“Seandainya kita mampu bergelar juara keseluruha­n di Sukan SEA (Ogos) dan pencapaian yang baik di Para ASEAN (September), gelombang kejayaan temasya dwitahunan itu mampu memastikan sasaran tercapai,” jelasnya.

Bagi tahun ini, pembabitan lebih 7 juta orang hingga tengah hari semalam menerusi 20,529 program, tidak termasuk aktiviti sukan pelajar di sekolah, sudah dicatatkan namun angka rasmi akan diumumkan dalam tempoh sehari dua ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia