ProEight intai pasaran Asia Barat
ProEight Sdn Bhd (ProEight), peneraju industri pengedap mekanikal mula meluaskan rangkaian operasinya di beberapa negara utama dunia bagi mengukuhkan perniagaan dan jenamanya di peringkat global.
Pengarah Urusannya, Azhar Zainal Abidin berkata, selain beroperasi di Malaysia, syarikat pengeluaran produk kejuruteraan itu dijalankan di Amerika Syarikat (AS), Thailand, Sudan dan Filipina yang sentiasa menunjukkan prestasi memberangsangkan.
Beliau berkata, sebagai perancangan bersepadu pada masa hadapan, pihaknya memperuntukkan modal berjumlah AS$11 juta (RM47.22 juta) bagi tempoh lima tahun untuk membuka pejabat operasi di Arab Saudi dan Thailand.
“Inisiatif terbabit langkah strategik kami meneroka pasaran di Asia Barat, selain memperkukuhkan lagi kedudukan ProEight di rantau ini.
“Malah, pembukaan pejabat di Arab Saudi yang membabitkan modal RM42.91 juta mula dilaksanakan suku pertama 2016 sekali gus membuka pada pintu peluang pelaburan,” katanya.
Azhar berkata, menerusi penempatan perniagaan baru di beberapa negara itu menjadikan ProEight bukan hanya bertaraf syarikat Bumiputera tempatan, malah muncul sebagai antara pemain utama dunia
dalam industri.
Jaya: Wagna Holdings Sdn Bhd (Wagna Holdings), syarikat pemilik Restoran Nasi Kandar Penang Kapitan berhasrat membuka sebuah cawangan restoran baru pada tahun depan selepas kejayaan membuka cawangan kelimanya, baru-baru ini.
Pengarah Urusannya, NoorulAmeen Naina Mohamed berkata, perancangan itu masih diperingkat awal namun lokasi cawangan itu dijangka masih di sekitar kawasan Lembah Klang.
“Kami lihat pembukaan
cawangan di Lembah Klang masih sesuai untuk syarikat meskipun berhadapan dengan persaingan daripada pelbagai restoran makanan nasi kandar kerana setiap restoran memiliki kelebihan tersendiri,” katanya pada pembukaan restoran terbaru Nasi Kandar Penang Kapitan di sini.
Wagna Holdings membuka cawangan kelima di Persiaran Subang Indah selepas cawangan di Ara Damansara, Glenmarie, Ampang Point dan Star Avenue, Subang.
Beliau berkata, syarikat yakin cawangan terbaru itu akan mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat setempat kerana ia terletak di lokasi strategik iaitu bersebelahan Taman Ekstrem Indoor Enerz USJ dan dikelilingi kawasan perkilangan serta kediaman.
Menurutnya, syarikat menjangkakan mampu menarik kira-kira 2,000 pengunjung pada setiap hari
dan optimis ia dapat dicapai melalui kedudukan restoran yang strategik dan sajian makanan yang ditawarkan.
“Keistimewaan restoran kami ini terletak pada menu nasi kandar asli warisan keluarga, makanan Thai dan makanan Barat serta menu istimewa iaitu char kuetiau daripada Serina Redzuawan, anak kepada selebriti chef terkenal Chef Wan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Wagna Holdings berhasrat menerokai pasaran Australia dengan membuka cawangan restorannya, namun ia masih di peringkat awal.
“Kami mendapati pasaran Australia menawarkan potensi baik kepada syarikat memandangkan ramai pelajar Malaysia berada di sana dan kami menjangkakan hasrat ini mampu dilaksanakan dalam dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya.