Pegawai JPNT diarah hubungi ibu bapa
Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan berlaku kes buli membabitkan seorang murid perempuan tahun dua di sebuah sekolah rendah di daerah ini, Rabu lalu.
Pengarahnya Shafruddin Ali Hussin berkata, pihaknya tidak dimaklumkan secara rasmi oleh ibu bapa mangsa, namun sedia maklum mengenai kes itu kerana sudah viral di media sosial.
“Sepatutnya ibu bapa mangsa menyalurkan maklumat itu kepada JPNT menggunakan saluran rasmi bagi membolehkan kita menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan kes berkenaan.
“Kami memandang serius dengan kes buli di sekolah. Justeru, tindakan sewajarnya akan diambil bagi membendung masalah itu dari awal. Saya sudah mengarahkan Pegawai Bahagian Aduan JPNT untuk menghubungi ibu bapa mangsa bagi mendapatkan maklumat tepat selain memperoleh keterangan daripada pihak sekolah.
“Kita perlu tunggu laporan dulu sebelum membuat rumusan bagi menentukan tindakan sewajarnya yang boleh diambil bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, pihaknya berharap kerjasama ibu bapa yang mengalami masalah sama supaya tidak menyebarkan kejadian seperti itu melalui media sosial, sebaliknya menggunakan saluran disediakan JPNT.
Katanya, orang ramai boleh menghubungi talian 013-6213003 atau 09-6213003 bagi menyalurkan atau membuat sebarang aduan mengenai masalah atau salah laku berkaitan pelajar dan murid di Terengganu.