Harian Metro

Siasat FAM segera: Annuar

- Mohd Razlan Salleh dan Ardyhansah Amat sukan@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Dakwaan salah laku dan penyelewen­gan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu disiasat segera bagi mengelak wujudnya krisis kepercayaa­n terhadap badan induk sukan berkenaan.

Perkara itu diluahkan bekas Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa ketika diminta mengulas pendedahan pemilik skuad Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa memiliki dokumen berkaitan salah laku dalam badan induk kebangsaan itu menerusi laman Facebook rasmi Southern Tigers, malam kelmarin.

“Jika ada maklumat mengenai ketirisan atau penyelewen­gan dalam FAM, ia perlu diteliti secepat mungkin. Apatah lagi FAM badan induk bola sepak yang mengendali­kan wang jutaan ringgit sama ada peruntukan dana kerajaan, penaja mahupun jualan tiket dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Menurut Annuar, adalah wajar bagi pihak berwajib seperti Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara itu dengan segera dan telus.

“Memandangk­an perkara ini (dakwaan) sudah didedahkan kepada umum, maka wajar siasatan terperinci dilakukan bagi menjawab segala tuduhan dilemparka­n.

“Tindakan ini baik untuk kedua-dua pihak termasuk FAM sendiri,” katanya.

Namun, sekiranya dakwaan itu tidak benar, maka nama FAM perlu dibersihka­n.

“Sebagai pihak yang memiliki maklumat, Tunku Ismail tidak boleh menyembuny­ikan perkara itu daripada pihak berkuasa untuk siasatan. Umum mengetahui FAM mengendali­kan bajet yang banyak dan patut diuruskan dengan baik,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia