Harian Metro

Asal usul nama Singah, rahsia nombor 383

-

Tanggal 1 Julai lalu persada seni tanah air kehilangan seniman Datuk Aziz Singah. Kematian Allahyarha­m akibat kanser prostat pada usia 75 cukup indah jatuh pada penghulu segala hari iaitu Jumaat terakhir Ramadan tahun ini. Terlintas mahu menziarahi jenazah Allahyarha­m, namun dek hambatan tugasan, hanya sedekah al-Fatihah saja dapat dititipkan.

Tidak banyak artikel mengenang Aziz Singah ditulis selepas kepergiann­ya. Barangkali kerana bahan akhbar dan majalah sudah dikumpul awal (mengisi stok semasa cuti), cerita Aziz Singah itu hanya meriah disiarkan di ruangan berita.

Di sisi lain ramai wartawan hiburan di era Aziz Singah mencipta populariti sebagai dramatis sudah bersara, tidak terkecuali yang menghadap illahi. Penulis agak bertuah kerana sempat mendamping­i seniman hebat ini ketika menjadi wartawan hiburan sekitar 80-an dan 90-an.

Justeru terpanggil hati ini untuk berkongsi memori dan diharapkan serba sedikit informasi ini dapat membantu generasi akan datang apabila mengkaji Aziz Singah daripada seorang penyelia makmal, menjadi juruhebah, dramatis, ahli politik dan perniagaan akhirnya Presiden Seniman.

Dilahirkan di Rembau, Negeri Sembilan pada 3 Oktober 1941, Aziz meniti kehidupan ketika kanak-kanak tanpa belaian ayah. Ketika menemurama­h beliau pada Ogos 1998, Aziz yang penulis panggil abang ini menceritak­an ayahnya seorang askar sama unit dengan Leftenan Muda Adnan (Allahyarha­m) terkorban pada usia 24 tahun dibunuh tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua. Usia Aziz ketika itu dua bulan.

Sehingga ke akhir hayat, Aziz tidak tahu bagaimana wajah ayahnya itu. Namun hasrat itu tidak pernah padam dan kebetulan ketika kenalannya Datuk Jalal Abu Bakar (Allahyarha­m) menjawat Timbalan Menteri Pertahanan, Aziz diberi peluang membuka fail tentera lama di MINDEF. Malang pula gambar ayahnya itu tiada, namun dia puas kerana mendapat tahu nombor berkhidmat­an ayahnya ketika itu, 383.

Kesempatan bersembang dengan Aziz melonjak minat penulis untuk mengetahui bagaimana boleh terlekat nama Singah? Mana ada nama orang Melayu Singah? Aziz tersenyum lalu ketawa menceritak­an namanya terletak Singah sedangkan nama sebenarnya ayahnya Ngah Ujid.

Kami terus tergelak bila Aziz berceloteh pegawai polis ‘Benggali’ (Sikh) yang mencatat namanya di surat pendaftara­n tersilap dengar. Salah seorang ayah saudara Aziz mendaftark­an nama Aziz lalu bila polis itu bertanya anak siapa? Keluarga Aziz itu menyebut “anak si Ngah.”

Penyudahny­a polis itu terus menulis Aziz Singah. Merujuk Kamus Dewan memang tiada makna perkataan ‘singah’ itu, tetapi berpaling ke Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI), definisi singgah adalah berhenti sebentar di suatu tempat ketika dalam perjalanan/mampir.

Aziz memulakan kerjaya awal sebagai Penyelia Makmal Dockyard Technical Collage, Sembawang, Singapura (1960-1964), Juruhebah Radio Televisyen Singapura (1964-1971), Juruhebah, Penerbit Drama Radio, Penyelia dan Ketua Unit Kasting RTM (1971-1992).

Bakat lakonan Aziz mula diuji pengarah M Amin (Allahyarha­m) dalam filem Jahanam pada 1971. Selama menjawat Ketua Unit Kasting RTM, Aziz melahirkan ramai dramatis baru dan salah seorangnya Fauziah Nawi melalui drama Tahan Kinabalu.

Lebih 500 drama dibintangi bermula dengan Malam Tiada Bintang pada 1965, lakonan Aziz cukup sinonim sebagai ‘datuk’ atau ‘tokoh korporat.’ Watak Rosman yang dipegang dalam drama PJ mengaitkan­nya dengan JR Ewing (lakonan Larry Hagman) dalam Dallas.

Ketika Aziz dipilih menjadi Presiden Seniman pada 3 Julai 1999 untuk sesi 1999/2001, cabarannya cukup getir apabila beberapa AJK lama persatuan itu menghantar surat aduan kepada Pendaftar Pertubuhan meminta Mesyuarat Agung Seniman itu dibatalkan.

Penulis bertemu Aziz di pejabat Seniman di Kompleks Finas, Hulu Klang, menanyakan hala tuju Seniman bagi menempuh alaf baru, 2000.

Aziz berharap agar tidak berlaku kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan di sebalik projek E-Village, malangnya projek itu menjadi ‘gajah putih.’ Melalui era Aziz juga Seniman dengan kerjasama ACS Production melancarka­n projek Hari Seniman 22 Mac 2000. Selaku Presiden, Aziz mahukan seniman tanah air diiktiraf.

Sekian lama berjuang, era Abdullah Ahmad Badawi (Tun) menjadi Perdana Menteri barulah Hari Seniman itu diiktiraf, tetapi bukan 22 Mac sebaliknya 29 Mei sempena tarikh kematian P Ramlee. Terlalu banyak mahu dikupas mengenai Aziz di ruangan terbatas ini, dan salah satu kesungguha­nnya mahukan ada wakil Seniman bersuara di Parlimen, takdirnya tuah itu milik Tan Sri Jins Shamsuddin menjadi senator.

Segala jasa-jasa Allahyarha­m Aziz Singah ini abadi dalam lipatan sejarah.

 ??  ??
 ??  ?? AZIZ Singah tidak pernah tatap wajah ayah.
AZIZ Singah tidak pernah tatap wajah ayah.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia