TMJ ADA RAHSIA FAM
TMJ dakwa FAM gelumang rasuah selama 30 tahun
Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya terus digegarkan dengan dakwaan terbaharu pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang tampil membongkarkan amalan rasuah selama 30 tahun oleh badan induk bola sepak tempatan itu.
Menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers (JST) semalam, Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu dilihat memegang satu ‘pendrive’ dengan mendakwa segala maklumat salah laku FAM kini berada di tangannya.
Menurutnya, semua butiran lanjut termasuk ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, pengambilan duit kelab dan laporan audit yang didakwanya ‘merepek’ diperoleh menerusi sahabatnya yang berkedudukan tinggi di Kuala Lumpur.
“Ini adalah ‘pendrive’ diberikan kepada saya oleh sahabat-sahabat saya yang berkedudukan tertinggi di Kuala Lumpur berkenaan maklumat dan aktiviti dalam FAM.
“Apa yang pelik adalah anda semua boleh terima selama ini dan sanggup mempertegakkan 30 tahun korupsi dalam FAM,” katanya semalam.
Difahamkan, tindakan TMJ itu juga disebabkan rasa tidak senangnya terhadap sesetengah pihak yang mempertikaikan keputusan empat pemain Johor DT bersara daripada skuad kebangsaan minggu lalu.
Sebelum ini ketua pasukan negara Safiq Rahim dan penolong ketua pasukan Aidil Zafuan Radzak serta Amirulhadi Zainal dan S Kunanlan mengumumkan persaraan daripada pentas antarabangsa yang menimbulkan pelbagai spekulasi mengenainya.
“Apa yang susah sangat untuk menghormati keputusan mereka?
Satu perkataan sahaja yang anda (pengkritik) harus katakan tentang mereka atau kepada mereka iaitu ‘terima kasih’.
“Terima kasih atas pengorbanan mereka selama ini. Itu sahaja,” katanya. TMJ juga seakan memberi amaran kepada pengkritiknya supaya berhati-hati dengan memetik pesanan seorang pegawai askar kepadanya.
“Saya mempunyai seorang komander di India yang pernah berkata, ‘jangan diajak penembak tepat pergi menembak’,” katanya selepas beberapa kali sebelum ini turut membuat dakwaan serupa, namun kali ini beliau tampil dengan mendakwa mempunyai bukti kukuh.
Apa yang pelik adalah anda semua boleh terima selama ini Tunku Ismail Sultan Ibrahim