Suara konti hujung minggu
Jaa tak sia-sia peluang diberikan Era FM sebagai penyampai radio
walaupun tak sepenuh masa
Nama Jaa Suzuran mung– kin masih kedengaran asing dalam industri seni hiburan tanah air.
Biarpun belum dikenali ramai, Jaa mula berjinakjinak dalam dunia pe– nyiaran apabila bertugas di konti radio Era FM sejak tahun lalu.
Menyingkap pembabitan awalnya, anak jati negeri Cik Siti Wan Kembang itu mula menyertai uji bakat pencarian Penyampai Top Malaysia anjuran Era FM pada Oktober 2014.
Meskipun tidak bergelar juara, personalitinya yang ceria dan petah berbicara membuatkan jejaka ber– usia 22 tahun ini terpilih untuk bersama stesen itu.
Menurut Jaa, biarpun hanya bertugas di hujung minggu, dia tidak pernah berasa terkilan sebaliknya bersyukur kerana Era FM merealisasikan impiannya.
“Sebelum menyertai pencarian Penyampai Top Malaysia, saya penganggur yang gemar memuat naik video parodi di laman sosial.
“Bagaimanapun, selepas dipilih menjalani proses latihan program ini kehidupan saya berubah 360 darjah. Saya berpeluang tampil sebagai penyampai radio hujung minggu di Era FM.
“Bertitik tolak dari situ, saya nekad menjadikannya sebagai karier tetap kerana ia cita-cita saya sejak kecil. Saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan,” katanya.
Ditanya mengapa belum diserap bertugas sepenuh masa biarpun mempunyai jumlah pengikut yang ramai di Instagram berbanding rakan seangkatan, dia berkata, dia perlukan masa bagi memperbaiki kelemahan diri.
“Setiap orang mempu– nyai jalan berbeza-beza. Saya bersyukur dengan nikmat dan rezeki yang Allah kurniakan.
“Malah, saya akui terdapat banyak kelemahan diri ketika ke udara. Paling jelas, loghat Kelantan yang masih pekat membuatkan mungkin pihak stesen berasakan saya belum layak diberikan peluang bergelar penyampai tetap,” katanya yang mengagumi gaya penyampaian Johan, Hanif dan Ray.
Bercerita lanjut perjalanan karier seninya selepas hampir setahun mencanai bakat dalam dunia penyampai radio dan pengacaraan, pemilik nama sebenar Mohamad Faizal Ahmad itu memberitahu dia dilamar sebuah syarikat pengurusan dari Singapura.
Bagaimanapun, dia belum membuat keputusan untuk menerima pelawaan berkenaan.
“Sehingga kini belum ada keputusan kerana saya masih berbincang dengan keluarga dan pe–ngurusan.
“Bagaimanapun, sepanjang berurusan dengan syarikat pengurusan itu saya ada menerima beberapa tawaran pengacaraan di Singapura. Ia sekali gus meyakinkan saya untuk bekerjasama dengan mereka,” kata Jaa yang belum bersedia mendedahkan nama syarikat itu.