Langkah positif BNM
Pengurangan OPR dapat imbangi kesan negatif dalam dunia kewangan
AMMB Holdings Bhd (Kumpulan AmBank) menjangkakan segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan terus kukuh dengan mengekalkan pertumbuhan dua digit menjelang akhir tahun ini, sama seperti yang direkodkan tahun lalu, disokong oleh pemotongan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, pihaknya melihat langkah Bank Negara Malaysia (BNM) dalam penurunan kadar faedah itu sebagai langkah positif memandangkan ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban orang ramai dan perniagaan untuk membuat pembayaran balik pinjaman.
“AmBank akan mengurangkan kadar pinjaman dan kadar asas sebanyak 20 mata asas (bps) kepada 3.8 peratus dan 6.65 peratus mulai hari ini berikutan keputusan BNM untuk mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas minggu lalu.
“Langkah BNM dalam pengurangan OPR berkenaan dapat mengimbangi kesan negatif dalam dunia kewangan di luar sana berbanding Malaysia. Pada masa sama, AmBank juga merancang untuk terus fokus terhadap segmen PKS kerana adanya permintaan untuk pembiayaan PKS,” katanya pada majlis sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian antara AmBank dengan Advelsoft (M) Sdn Bhd (Advelsoft), di sini, semalam.
Beliau berkata, melalui kerjasama itu, Advelsoft akan menyediakan satu platform transaksi iaitu JomPAY bagi memberi kemudahan dan akses kepada pengusaha pengurusan bangunan serta penyewa untuk membuat pembayaran secara dalam talian seterusnya menambah nilai kepada perisian sedia ada. “Dengan adanya sistem pembayaran dalam talian secara 24 jam tanpa henti ini, penyewa kondominium dan pangsapuri tidak perlu lagi melakukan pembayaran manual termasuk pembayaran tunai, menggunakan cek dan kad kredit,” katanya.
Katanya, kehadiran JomPAY sebagai saluran transaksi perbankan percuma kepada orang awam dan skim pembayaran bil kebangsaan terbabit adalah seiring dengan usaha BNM ke arah mengurangkan kaedah pembayaran menerusi cek.
Sementara itu, Pengarah Urusan Advelsoft, Yap Yun Fatt berkata, pihaknya menyasarkan untuk menyaksikan pertumbuhan pembabitan antara 30 hingga 40 kondominium dalam tempoh sebulan.
“Sistem kami akan membantu melancarkan pengurusan kondominium dengan lebih cekap. Berdasarkan kajian ke atas 60 kondominium yang mewakili 10 peratus bahagian, pembayaran tunai menyumbang kira-kira 11.43 peratus, cek (48.58 peratus), 7.58 peratus untuk kad kredit dan pemindahan terus mewakili 32.42 peratus daripada jumlah keseluruhan bernilai RM188 juta,” katanya.