‘Cukuplah tuduh melulu’A
Bapa harap gadis dilapor hilang ditemui dalam keadaan selamat
“Kami sekeluarga harap dia ditemui dalam keadaan selamat, dan kami meminta orang ramai di luar sana hentikan tuduhan tidak berasas yang anak saya lari ikut kawan lelaki,” luah Iskandar Daut.
Iskandar, 44, bapa kepada seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang dalam kejadian di hadapan kafe di Pulau Gadong, di sini, Jumaat lalu.
Menurut Iskandar, anak sulungnya Nur Farisyah Eizwani, 19, disedari hilang oleh adiknya jam 8.30 malam apabila remaja terbabit tidak masuk semula ke kafe selepas menghantar minuman kepada seorang pelanggan yang menunggu pesanan di luar premis.
Katanya, sebelum kejadian, lelaki terbabit masuk ke dalam kafe dan membuat pesanan minuman sebelum keluar dan kehilangannya disedari adiknya berusia 16 tahun yang membantu gadis malang itu di kafe.
“Menyedari lelaki itu tidak masuk ke dalam kafe untuk mengambil pesanan, Along (Nur Farisyah) kemudian keluar menghantar minuman kepada lelaki itu yang menunggu dalam kereta dipercayai Honda City berwarna putih.
“Bagaimanapun, sehingga jam 9 malam, Along belum masuk ke dalam kafe sebelum adik menyedari ketiadaannya sebaik ditegur seorang kenalan keluarga kami yang kebetulan datang ke kafe,” katanya ketika ditemui di kafe milik anaknya itu di Pulau Gadong, di sini, semalam.
Iskandar berkata, sehari sebelum kejadian lelaki berkenaan juga dikatakan ada datang ke kafe itu untuk membeli minuman.
Menurutnya, kehilangan anaknya itu dimaklumkan oleh kenalan keluarganya melalui telefon sebelum dia dan isteri bergegas ke kafe terbabit jam 9 malam.
“Kami sedih apabila ada pihak mendakwa Along lari mengikut lelaki kerana dia seorang anak yang baik serta gigih mengusahakan kafe miliknya.
“Semua barang peribadi dan dokumennya tidak dibawa bersama selain ubatnya juga ditinggal, jika dia melarikan diri sudah pasti ubat akan dibawa bersama kerana Along baru keluar hospital kerana usus bengkak,” katanya.
Katanya, dua hari sebelum kejadian, anaknya itu ada meluahkan rasa tidak sedap hati apabila ada sebuah Proton Saga berada dalam keadaan mencurigakan berhenti dan memerhatikan kafe berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan selain pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
FAKTA Semua barang peribadi, dokumen, ubat tidak dibawa bersama