Berita Harian

Prabowo gunakan ‘cara Asia’ tangani ketegangan serantau

Presiden Indonesia sedia laksana pendirian dasar luar tegas

-

Jakarta: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang secara rasmi bakal mengambil alih tampuk pemerintah­an republik itu Oktober ini, dilihat bersedia melaksanak­an pendirian dasar luar yang tegas.

Beliau menyatakan diplomasi, rundingan dan konsep ‘cara Asia’ akan membantu meredakan setiap ketegangan khususnya di rantau ini.

Prabowo, 72, memenangi pilihan raya umum pada Februari lalu, bersama pasanganny­a, Gibran Rakabuming Raka, yang juga anak sulung Presiden Joko Widodo yang akan bersara nanti.

Menerusi temu bual bersama saluran berita Qatar, Al Jazeera, Prabowo berkata, Asia Tenggara pernah mengalami peperangan, penjajahan asing dan campur tangan dalam politik dalaman mempunyai cara penyelesai­an tersendiri.

Tanpa campur tangan asing

“Kami menyelesai­kannya tanpa campur tangan asing, kami bercakap, kami bertemu,” katanya yang menjawab kepada soalan mengenai maksud istilah ‘cara Asia’ yang digunakann­ya.

Ditanya mengenai persaingan antara China dan Amerika Syarikat (AS), untuk mendapatka­n pengaruh di rantau ini, bekas komander pasukan khas itu berkata, Indonesia sangat terbuka kepada kedua-dua negara.

“Kami menghormat­i anda dan berterima kasih atas bantuan anda yang lalu.

“Kami menjemput AS, Jepun, Korea, Eropah. Hakikatnya kami berkawan dengan anda, tidak bermakna kami tidak boleh berkawan dengan China, India, Russia,” katanya yang turut membangkit­kan tradisi dan sejarah berkecuali Indonesia.

Pada forum serantau November

lalu, Prabowo berkata, Indonesia komited kepada dasar berkecuali dan akan mengekalka­n hubungan baik dengan China dan AS.

April lalu, beliau melawat China, Jepun dan Malaysia, menjadikan lawatan pertamanya sejak memenangi pilihan raya presiden. Dalam temu bual itu juga, beliau menafikan kemunduran demokrasi dan berkata Indonesia, sudah menyaksika­n peralihan kuasa kerajaan secara aman selama bertahun-tahun meskipun masih ada masalah yang perlu ditangani, seperti rasuah yang berleluasa.

Prabowo berkata, ‘kepentinga­n negara kita’ akan membimbing pendekatan terhadap situasi di wilayah paling timur, Papua di mana kumpulan pemisah bersenjata bertempur dengan pasukan keselamata­n selama bertahun-tahun lamanya.

Mac lalu beberapa tentera ditahan selepas satu video tular menunjukka­n seorang lelaki diseksa oleh tentera di wilayah itu.

AGENSI

 ?? ?? Prabowo Subianto
Prabowo Subianto

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia