Berita Harian

‘Saya tidak boleh terus ratapi kehilangan suami’

Ibu kepada tujuh anak lelaki bangkit galas tanggungja­wab ketua keluarga

- Oleh Ruwaida Md Zain bhnews@bh.com.my

Tanggal 1 Januari lalu mengubah sebahagian besar hidup seorang wanita yang juga ibu kepada tujuh anak lelaki, berikutan kematian suami akibat kegagalan beberapa organ selepas menjalani pembedahan menukar injap jantung buat kali kedua.

Bukan mudah, Nor Azmah Zuber, 45, menggalas tanggungja­wab sebagai ibu dan ayah kepada tujuh anak lelaki yang mempunyai karakter dan peringkat umur berbeza dari lapan hingga 20 tahun, hasil perkongsia­n hidup 20 tahun bersama Allahyarha­m Jesffri Zakaria, 46.

“Saya kehilangan tempat berkongsi dan berbincang mengenai anak. Selepas pemergian arwah suami, paling berat untuk saya tempuhi waktu itu menjaga emosi anak sebab pada masa sama, saya juga mengalami kesedihan.

“Saya tidak boleh membiarkan anak begitu sahaja kerana sekarang hanya saya yang menjaga mereka.

“Saya perlu mengumpul kekuatan dalam diri saya sendiri sebelum mampu menstabilk­an emosi anak agar mereka dapat menerima situasi sukar mahupun senang.

“Namun, ini bukan mudah kerana setiap peringkat umur mereka mempunyai tahap pemikiran berbeza,” katanya yang juga seorang kakitangan bahagian pentadbira­n di Universiti Teknologi MARA (UITM) Shah Alam, ketika ditemui baru-baru ini.

Cabaran besarkan anak

Beliau berkata, anak-anak masih terkesan dengan pemergian suami, tetapi bagi anak lelaki mungkin agak sukar menunjuk atau meluahkan perasaan masing-masing secara terus.

“Saya melihat emosi anak lelaki ini tersimpan di dalam hati, tetapi ia boleh dilihat melalui ekspresi dan reaksi mereka. Contohnya, ‘Mama, jom pergi ziarah kubur ayah’ atau ada yang melihat barang-barang ayahnya. Macam semalam, anak bongsu, tiba-tiba tidak mahu ke sekolah... apabila saya tanya, ’Kenapa, rindu ayah ya?’... terus dia menangis,” katanya.

Nor Azmah juga mengakui, setiap anak lelaki memberi cabaran kepada seorang ibu kerana mereka mempunyai naluri berbeza berbanding golongan hawa.

“Sejauh manakah kita seorang ibu, seorang wanita mampu menyelami perasaan anak lelaki, yang meningkat remaja, terutama supaya nilai yang menjurus kepada keakraban dan persefaham­an antara adik-beradik dapat terus kukuh.

“Saya perlu membentuk disiplin anak kerana semuanya bermula dari rumah. Saya juga perlu memandu arah mereka agar nilai kekeluarga­an, batas-batas pergaulan, tindak tanduk membuat keputusan tidak terpesong.

“Anak juga mempunyai keinginan dan minat masing-masing, jadi saya perlu memikirkan jalan terbaik untuk masa depan mereka agar bersesuaia­n dengan keupayaan dan pencapaian mereka sekarang,” katanya.

Katanya, beliau juga perlu memanfaatk­an masa secara adil kepada anak mengikut peringkat umur bagi membantu mereka mengendali­kan perasaan, pelajaran dan juga keperluan mereka.

“Anak belajar di sekolah rendah ada tiga orang, manakala dua lagi di sekolah menengah. Ini berbeza dengan anak sulung dan kedua yang belajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), mereka sudah pandai berdikari,” katanya.

Menurutnya, jiwa dan hatinya perlu kuat, beliau tidak boleh terus meratapi kehilangan suami dan kepayahan ditempuhin­ya, walaupun segala-galanya terpaksa dilakukan tanpa suami.

“Dorongan keluarga dan orang sekeliling penting. Saya perlu menambah baik diri sendiri kerana perjalanan saya dengan anak masih jauh,” katanya turut menyifatka­n ibunya, Farida Ainon Mahmud, 74, sumber inspirasi untuk memberi didikan kepada anak.

 ?? (Foto Faiz Anuar/bh) ?? Nor Azmah menunjukka­n gambar arwah suami dan tujuh anak ketika ditemui baru-baru ini.
(Foto Faiz Anuar/bh) Nor Azmah menunjukka­n gambar arwah suami dan tujuh anak ketika ditemui baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia